Diterbitkan pada 2 Januari 2026, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kadar inflasi utama negara meningkat sedikit kepada 1.4 peratus pada November 2025 berbanding dengan 1.3 peratus pada Oktober 2025, manakala inflasi teras kekal stabil pada paras 2.2 peratus.

Peningkatan inflasi ini didorong sebahagiannya oleh kenaikan harga rokok susulan pelarasan cukai eksais, selain peningkatan harga makanan segar, khususnya daging dan ikan.

Namun begitu, inflasi teras yang mencerminkan tekanan harga asas kekal stabil apabila kenaikan harga perkhidmatan komunikasi mudah alih dan kenderaan bermotor diimbangi oleh penurunan harga barang kemas dan perkhidmatan audio visual.

Dari segi prestasi ekonomi, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sekitar 6.5 peratus pada Oktober 2025 berbanding dengan lima peratus pada September 2025. Kluster berorientasikan eksport merekodkan lonjakan sebanyak 7.2 peratus dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan. Sementara itu, kluster berorientasikan domestik mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus.

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan terus kukuh pada 5.5 peratus pada November 2025. Pinjaman perniagaan mencatatkan pertumbuhan sederhana sekitar lima peratus, manakala pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.7 peratus disokong oleh permintaan pinjaman yang berterusan bagi pelbagai tujuan.

Sistem perbankan negara kekal berada dalam keadaan sihat dengan nisbah pinjaman terjejas kasar kekal pada 1.4 peratus. Nisbah Perlindungan Kecairan agregat pula berada pada tahap selamat, iaitu 145.6 peratus yang mencerminkan penampan kecairan bank yang mencukupi bagi menghadapi sebarang kejutan kecairan.

Dalam pasaran kewangan, ringgit terus mengukuh sebanyak 1.5 peratus berbanding dengan dolar AS pada November 2025 didorong oleh aliran masuk pelabur asing ke dalam pasaran bon domestik. Namun begitu, Indeks FBM KLCI merosot 0.3 peratus berikutan aliran keluar pelaburan ekuiti asing.

Secara keseluruhannya, perkembangan pasaran kewangan domestik sepanjang bulan berkenaan dipengaruhi oleh perubahan jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang terus memberikan kesan kepada keadaan kewangan global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi