Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] diwartakan pada 31 Disember 2024 setelah mendapat Perkenan Diraja pada 16 Disember 2024, sekali gus menandakan satu langkah penting bagi pembaharuan perundangan buruh negara.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan bahawa akta ini hanya akan berkuat kuasa pada tarikh yang akan diluluskan oleh Menteri Sumber Manusia yang diberi kuasa dan dinyatakan dengan jelas melalui satu warta yang dimuktamadkan.
Sehubungan dengan itu, kementerian menjelaskan bahawa semua peruntukan di bawah Akta Pekerja Gig 2025 masih belum boleh dikuatkuasakan sehingga tarikh kuat kuasa diumumkan secara rasmi.
Menurut KESUMA, pewartaan Akta 872 merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh kerangka perundangan buruh negara, khususnya bagi mengawal selia ekosistem pekerjaan gig yang semakin berkembang.
Pewartaan akta ini juga bertujuan menyediakan asas perlindungan yang lebih menyeluruh, sistematik dan tersusun kepada pekerja gig di Malaysia selaras dengan perubahan landskap pekerjaan dan keperluan pasaran buruh semasa
Dalam tempoh peralihan ini, KESUMA akan meneruskan persediaan pelaksanaan termasuk pembangunan peraturan subsidiari, penyelarasan mekanisme tadbir urus dan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan. Langkah tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan akta ini dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan dan selaras dengan realiti ekosistem pekerjaan gig.
Kementerian turut memaklumkan bahawa sebarang pengumuman lanjut berkaitan dengan tarikh kuat kuasa Akta Pekerja Gig 2025 akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kementerian.