Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa tiada penalti akan dikenakan ke atas surat cara yang disetemkan di bawah Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1 yang akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026 bagi kesalahan mengemukakan Borang Nyata Duti Setem (BNDS) yang tidak betul atau memberikan maklumat yang tidak tepat berkaitan dengan perkara yang memberikan kesan kepada pengenaan duti.
Menurut HASiL, tempoh konsesi khas tanpa penalti itu terpakai bagi permohonan penyeteman yang dikemukakan mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.
HASiL menjelaskan, pemberian konsesi khas berkenaan merupakan langkah pendidikan dan sokongan peralihan bagi memupuk kesedaran, serta menggalakkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pembayar duti. Pada masa sama, hal ini bertujuan menyediakan tempoh yang mencukupi kepada pembayar duti untuk memahami prosedur ditetapkan dan melaksanakan penyeteman sendiri secara elektronik dengan lebih berkesan.
Konsesi khas tersebut turut terpakai terhadap sebarang kesalahan di bawah subseksyen 72D(2) Akta Setem 1949 yang dikenal pasti melalui penemuan audit sepanjang tempoh konsesi khas berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan dengannya, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan STSDS, Sistem e-Duti Setem kini dibuka untuk akses awal kepada pembayar duti menerusi portal MyTax. Langkah itu bagi memberikan peluang kepada pembayar duti menjalankan pengujian sistem, serta membuat persediaan sewajarnya sebelum pelaksanaan penuh bermula.