Diterbitkan pada 20 Disember 2025, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak diperkenalkan, Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) mengisi ruang penting dalam kehidupan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terbeban akibat kos sara hidup yang semakin meningkat setiap tahun. Kenaikan kos sara hidup bukan sahaja berpunca daripada faktor domestik, tetapi turut dipengaruhi oleh pergolakan geopolitik global, perubahan harga komoditi, serta inflasi di pelbagai negara.

Seiring dengan keperluan rakyat yang semakin mendesak, setiap hujung tahun apabila sesi persekolahan hampir bermula, pelbagai kedai dan pasar raya mengadakan kempen jualan kembali ke sekolah. Acara ini dinanti-nantikan oleh ibu bapa, penjaga dan pelajar kerana menawarkan keperluan sekolah pada harga lebih rendah. Kempen ini biasanya bermula beberapa minggu sebelum sekolah dibuka bagi memberikan peluang kepada masyarakat membuat persiapan awal. Bagi kebanyakan keluarga, terutama yang mempunyai banyak anak yang bersekolah, hal ini menuntut perbelanjaan besar dan kadangkala memberikan tekanan kepada kewangan isi rumah.

Tujuan utama jualan kembali ke sekolah adalah untuk meringankan beban perbelanjaan keluarga yang saban tahun menghadapi kenaikan harga barangan persekolahan seperti beg, kasut, pakaian seragam dan alat tulis. Tawaran harga istimewa melalui jualan ini membolehkan ibu bapa dan penjaga mendapatkan kelengkapan anak-anak tanpa menjejaskan perbelanjaan bulanan. Terdapat keluarga yang menunggu musim jualan ini bagi memastikan setiap anak dapat hadir ke sekolah dengan kelengkapan lengkap walaupun kewangan terhad.

Melalui penganjuran program ini, kerajaan menyasarkan semua keluarga di Malaysia tanpa mengira latar belakang ekonomi, berpeluang menyediakan kelengkapan sekolah yang lengkap, berkualiti dan selesa untuk anak-anak mereka. Usaha ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, malah turut meningkatkan kesediaan pelajar memasuki tahun persekolahan baharu dengan lebih yakin dan bermotivasi.

Antara barangan yang ditawarkan termasuklah pakaian seragam sekolah, pakaian seragam kokurikulum, alat tulis, beg, kasut, stoking, botol air, bekal makanan, serta pelbagai keperluan sekolah lain. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama-sama rakan strategik menyediakan potongan harga istimewa antara 10 peratus hingga 30 peratus bagi semua barangan ini. Usaha ini bagi memastikan pengguna dapat menikmati penjimatan ketara menjelang sesi persekolahan baru.

Selain itu, program ini juga menggalakkan masyarakat merancang perbelanjaan dengan bijak. Promosi dan diskaun membolehkan pengguna membandingkan harga dalam pasaran dan membuat pembelian yang paling menguntungkan. Sikap berjimat cermat dan berbelanja secara strategik ini memberikan kesan jangka masa panjang yang positif terhadap kestabilan kewangan keluarga. Budaya perancangan kewangan yang baik juga dapat dipupuk sejak awal dan menjadi teladan bagi generasi muda dalam mengurus kewangan secara berhemah.

Walaupun harga ditawarkan rendah, kualiti barangan tetap terjamin. Selaras dengan prinsip asas RAHMAH yang menekankan bantuan bersasar kepada rakyat, nilai dan mutu barangan melalui program ini menepati standard kualiti setara dengan pasaran semasa. Jaminan ini penting agar pelajar menerima kelengkapan yang selesa, tahan lama dan sesuai digunakan sepanjang tahun persekolahan.

Apabila rakyat memperoleh keperluan asas pada harga lebih rendah, keseimbangan kewangan isi rumah meningkat. Kestabilan ini memberikan kesan positif kepada ekonomi negara apabila rakyat mempunyai lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan dalam sektor lain seperti pendidikan, kesihatan atau perkhidmatan. Perbelanjaan tambahan ini menyumbang kepada pengukuhan ekonomi domestik melalui peningkatan aktiviti ekonomi tempatan.

Program ini juga berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan peniaga dan pengguna. Melalui pendekatan berasaskan keperluan rakyat, dasar ekonomi dapat dinilai dan diperbaik berdasarkan maklum balas pengguna di lapangan. Interaksi langsung ini memupuk kepercayaan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.

Dalam dunia yang semakin mencabar, inisiatif seumpama ini membuktikan bahawa kerajaan dan masyarakat mampu bekerjasama memastikan tiada rakyat ketinggalan dalam mendapatkan keperluan asas. Program Jualan RAHMAH MADANI Kembali ke Sekolah bukan sahaja meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baru, malah memperkukuh ekosistem ekonomi setempat, meningkatkan keyakinan terhadap produk tempatan, serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara yang lebih berdaya saing.

Oleh itu, program ini bukan sekadar jualan bermusim, tetapi simbol harapan, kelegaan dan sokongan nyata untuk rakyat Malaysia. Pelaburan dalam kelengkapan pelajar hari ini adalah pelaburan dalam kejayaan generasi akan datang yang bakal menentukan arah kemajuan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi