Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama-sama Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam satu majlis yang berlangsung di Menara HASiL, Cyberjaya, hari ini.
MoA tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dan Ketua Pengarah JPPH, YBrs. Sr. Abdul Razak Yusak bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua agensi, khususnya dalam perkongsian maklumat penilaian harta bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).
Kerjasama ini selaras dengan usaha pendigitalan perkhidmatan awam, serta penerapan tadbir urus terbaik dalam sistem percukaian negara, sekali gus menyokong pelaksanaan dasar kerajaan melalui penyelarasan maklumat yang lebih sistematik, telus dan berintegriti.
Dalam ucapannya, Datuk Dr. Abu Tariq menegaskan bahawa kerjasama tersebut menjadi semakin signifikan seiring dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri CKHT mulai 1 Januari 2025 dan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem yang akan dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Januari 2026. Beliau berharap perjanjian ini dapat menjadi pemangkin kepada kolaborasi berterusan yang inovatif dan berimpak tinggi demi manfaat rakyat dan negara.