Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini menyambut kehadiran Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang melapor diri secara rasmi bagi memulakan tugas beliau di kementerian berkenaan.
Dalam amanat awalnya, YB Menteri menegaskan bahawa keutamaan utama dalam menggalas tanggungjawab di MITI adalah untuk memastikan pemahaman mendalam terhadap pengurusan fiskal negara bagi membolehkan kementerian dipacu secara berkesan dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar dan dinamik.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan strategik ini berikutan perubahan ketara ekonomi dunia, khususnya apabila semakin banyak negara mengamalkan dasar perlindungan domestik bagi mempertahankan kepentingan ekonomi masing-masing.
Dengan pengalaman luas merangkumi sektor korporat, penggubalan dasar, serta pentadbiran kewangan negara, kepimpinan YB Menteri dilihat sebagai kelebihan strategik dalam mengemudi MITI bagi menghadapi cabaran global dan merebut peluang baharu, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan inklusif.
Seluruh warga kerja MITI dan agensi di bawah kementerian menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan YB Menteri dan komitmen untuk menggembleng tenaga, serta kepakaran dalam memacu kemajuan ekonomi negara.
Dalam perkembangan sama, warga MITI turut mengalu-alukan kehadiran Timbalan Menteri, YB Tuan Sim Tze Tzin yang turut memulakan hari pertamanya bersama-sama MITI hari ini. Kehadiran beliau diharap dapat memperkukuh lagi usaha kementerian dalam memacu agenda pelaburan, perdagangan dan industri negara ke arah kecemerlangan yang berterusan.
Pelibatan YB Timbalan Menteri diyakini mampu membuka lembaran baharu yang lebih cemerlang, serta membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi negara, di samping mengukuhkan peranan MITI sebagai peneraju utama transformasi ekonomi pada peringkat nasional dan global.