Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Banjir yang melanda sejak 23 November 2025 telah menjejaskan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda dengan keluasan keseluruhan 11,657.54 hektar direkodkan terjejas.
Hasil bancian menunjukkan 5,721 hektar di Wilayah I Perlis, 5,648.20 hektar di Wilayah II Jitra, 271.60 hektar di Wilayah III Pendang dan 16.74 hektar di Wilayah IV Kota Sarang Semut terkesan akibat banjir tersebut.
Kebanyakan tanaman berada pada umur antara tujuh hari hingga 45 hari, sekali gus menjejaskan pendapatan pesawah, serta mengganggu jadual penanaman Musim 2/2025.
Bagi menangani situasi ini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengemukakan permohonan peruntukan pascabanjir kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 7 Disember 2025.
Sementara menunggu kelulusan, MADA menyalurkan RM611,000 bagi kerja kecemasan di semua wilayah untuk memastikan aktiviti penanaman dapat diteruskan.
Sebanyak RM1,081,000 turut disediakan bagi kerja pusingan pembersihan saliran dan pengairan, serta pembaikan infrastruktur ladang dan tali air dengan anggaran keseluruhan kos mencecah RM11.2 juta.
MADA kini sedang melaksanakan bancian terperinci di kawasan terjejas untuk memastikan pesawah yang layak menerima bantuan dan pampasan sewajarnya melalui skim perlindungan risiko sedia ada, termasuk Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Sehingga 11 Disember 2025, paras takungan air di ketiga-tiga empangan utama MADA direkodkan berada pada tahap mencukupi, iaitu Empangan Pedu 65.69 peratus, Empangan Muda 99.72 peratus dan Empangan Ahning 68.45 peratus.
Sepanjang tahun 2025, MADA kekal komited memastikan kestabilan industri padi dan beras negara. Kawasan Muda seluas 100,641 hektar diusahakan oleh 55,904 pesawah yang terus menjadi penyumbang utama pengeluaran padi nasional, iaitu antara 35 peratus hingga 40 peratus setahun.
Prestasi tahun 2024 juga menunjukkan peningkatan hasil apabila 790,658 tan metrik padi direkodkan berbanding dengan 775,186 tan metrik pada tahun 2023. Peningkatan ini didorong oleh kejayaan Projek Pembangunan Ladang Pintar IR4.0 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang melibatkan penggunaan Internet benda (IoT), sensor tanah dan air, serta sistem pemantauan digital melalui platform Pintar4U meliputi kawasan 42,322 hektar di Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Bohor A, Jitra.
Integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan sistem sokongan keputusan turut membantu mengurangkan kos operasi, mengoptimumkan penggunaan input dan meningkatkan hasil pesawah.
Dari sudut infrastruktur, MADA turut berdepan cabaran kepadatan tali air rendah berbanding dengan jelapang lain. Usaha menaik taraf kepadatan tali air daripada 19 meter kepada 30 meter sehektar kini sedang dilaksanakan melalui Projek Pembangunan Infrastruktur Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim dalam Dua Tahun dengan fasa pertama kerjasama awam–swasta bernilai hampir RM1 bilion. Projek dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030.
Belanjawan 2026 turut meluluskan Projek Skim Pemindahan Air Jeniang (SPAJ) bernilai RM1.28 bilion bagi memperkukuh keupayaan Kawasan Muda dalam mengurus sumber air secara lebih strategik.
Menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), MADA akan memperluas penggunaan teknologi pertanian pintar di empat lokasi merentasi empat wilayah sehingga tahun 2030 dengan peruntukan RM5 juta.
Pendekatan tersebut akan meningkatkan penggunaan dron, automasi ladang, IoT, serta analitik data untuk memaksimumkan produktiviti. RMK-13 juga memberi tumpuan kepada pengurusan sawah secara komersial melalui pembangunan PPSB seluas 5,000 hektar, termasuk pembabitan 2,500 pesawah dari 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mulai tahun 2026.
Secara keseluruhannya, pencapaian sepanjang tahun 2025 dan hala tuju baharu di bawah RMK-13 menggambarkan komitmen MADA untuk memodenkan sektor penanaman padi, memperkukuh infrastruktur kritikal dan membangunkan ekosistem pertanian pintar demi menjamin keterjaminan makanan negara.
MADA yakin pelaksanaan menyeluruh strategi ini akan terus mengukuhkan kedudukan Kawasan Muda sebagai jelapang padi utama negara, serta memastikan bekalan makanan yang stabil dan berdaya tahan untuk jangka panjang.