Diterbitkan pada 10 Disember 2025, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) memperkukuh kerjasama ekonomi serantau melalui mesyuarat dua hala dengan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) bagi membincangkan agenda dasar kewangan dan peluang kerjasama baharu di rantau ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Gabenor Bank Negara, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor BSP, YBrs. Eli Remolona turut disertai pegawai kanan dari kedua-dua bank pusat.

Pertemuan tersebut memberikan tumpuan kepada perkembangan ekonomi semasa, keutamaan dasar monetari di negara masing-masing dan inisiatif untuk memperluas kerjasama serantau.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah peranan Filipina sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2026.

Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai langkah memperkukuh kerjasama serantau bagi menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

Mesyuarat tersebut dilihat sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Filipina, khususnya dalam sektor kewangan dan perbankan.

Kerjasama erat antara bank pusat di rantau ASEAN kekal penting bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan serantau, terutamanya ketika berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Perbincangan turut membuka ruang kerjasama lebih luas dalam pertukaran maklumat, pembangunan sistem pembayaran digital dan usaha merancakkan integrasi kewangan di Asia Tenggara.

Kedua-dua gabenor turut bersetuju untuk meneruskan dialog dan kerjasama yang erat bagi memperkukuh jaringan kerjasama demi kepentingan bersama negara dan rantau.

Kredit Foto: Bank Negara Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi