Diterbitkan pada 8 Disember 2025, 08:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan cuti persekolahan pada hujung tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Jualan Gudang Mega 2025, sebuah jualan besar-besaran yang menghimpunkan 14 penerbit ternama tanah air di bawah satu bumbung.

Acara ini akan berlangsung di Kompleks DBP Hulu Kelang, Selangor dari 20 Disember hingga 29 Disember 2025. Jualan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam pada hari Isnin hingga Khamis, manakala pada hari Jumaat hingga Ahad serta cuti umum, jualan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam.

Jualan Gudang Mega 2025 menawarkan potongan harga hingga 90 peratus bagi pelbagai genre buku, termasuk karya sastera, akademik, pendidikan, kanak-kanak, agama, novel, komik dan judul-judul eksklusif daripada pelbagai penerbit. Turut disediakan ialah peralatan sekolah sempena penganjuran Karnival Kembali ke Sekolah.

Pelbagai tawaran dan aktiviti menarik akan menemani para pengunjung sepanjang acara ini, antaranya termasuklah pakej istimewa untuk pembelian pukal, ruang interaksi bersama-sama penerbit, permainan kuiz santai dan cabutan bertuah harian.

Penganjuran jualan gudang ini bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat serta memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan buku berkualiti pada harga mampu milik, di samping menyokong perkembangan industri perbukuan negara.

DBP mengundang seluruh rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai memeriahkan Jualan Gudang Mega 2025 dan membawa pulang buku terbaik sebagai bekalan ilmu menjelang tahun baharu. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari platform rasmi DBP atau laman media sosial DBPNiaga.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi