Diterbitkan pada 7 Disember 2025, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kerajaan mengumumkan bahawa nilai ambang pengecualian e-invois akan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun hadapan bagi mengurangkan beban perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti rungutan peniaga kecil mengenai kos pelaksanaan sistem tersebut.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu turut membincangkan pelaksanaan e-invois agar lebih realistik dan tidak membebankan perniagaan kecil yang masih menyesuaikan diri dengan digitalisasi.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan menggandakan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada bulan ini bagi mempercepat penyelesaian tuntutan tertunggak, terutama melibatkan peniaga kecil.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pemberian hasil 40 peratus kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Mesyuarat awal Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri telah bermula, manakala mesyuarat penuh dijangka diadakan sebelum pertengahan bulan Januari selepas penyusunan semula kabinet.

Katanya, parameter pembayaran perlu ditetapkan dengan jelas bagi memastikan pelaksanaannya tersusun, serta mematuhi aspek perundangan, termasuk kemungkinan pindaan undang-undang.

Perdana Menteri menegaskan bahawa rundingan tersebut bukan retorik politik, sebaliknya sebahagian daripada komitmen Malaysia MADANI untuk memastikan hak dan keadilan negeri dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Kredit Foto: FB Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi