Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Skim insurans perubatan dan kesihatan asas (MHIT) yang dijadualkan diperkenalkan pada awal tahun 2027 akan menjadi produk berdiri sendiri dan tidak dikaitkan dengan mana-mana pelaburan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam jawapan bertulis dalam portal Parlimen baru-baru ini, kementerian itu memaklumkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengkaji semula status pelan perubatan yang ditawarkan sebagai manfaat tambahan dalam polisi berkaitan dengan pelaburan.
Pada masa ini, perlindungan insurans kesihatan di Malaysia lazimnya ditawarkan sebagai manfaat tambahan dalam polisi berkaitan dengan pelaburan (ILP). Polisi ini direka dengan kadar premium yang sama sepanjang tempoh polisi melalui pembiayaan awal bagi menampung kos insurans pada masa hadapan.
Namun begitu, MOF menjelaskan bahawa kadar premium ILP tidak dijamin dan boleh dinaikkan jika polisi berkaitan dengannya tidak lagi mampan. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan oleh pulangan pelaburan yang lemah, peningkatan kos manfaat insurans kesihatan atau pengeluaran nilai akaun oleh pemegang polisi.
Jika pemegang polisi tidak bersetuju untuk membayar premium tambahan atau menambah nilai akaun mereka, tempoh perlindungan mungkin menjadi pendek. Oleh itu, pengguna perlu benar-benar memahami risiko sebelum memilih polisi berkaitan dengan pelaburan.
Jawapan tersebut diberikan sebagai respons kepada soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, YB Tuan Sim Tze Tzin berhubung dengan polisi berkaitan dengan pelaburan di bawah skim MHIT, serta langkah kawal selia terhadap syarikat yang menjual produk insurans dengan janji pulangan tinggi, tetapi gagal menepati sasaran.
Menurut kementerian, BNM telah menetapkan peraturan yang lebih ketat untuk memastikan amalan jualan yang beretika, serta meningkatkan ketelusan produk ILP.
Antara peraturannya termasuklah syarikat insurans dan takaful diwajibkan mendedahkan tahap kemampanan polisi kepada pemegang polisi setiap tahun, termasuk prestasi pelaburan, serta kecukupan premium untuk mengekalkan perlindungan sehingga tamat tempoh polisi.
MOF menegaskan bahawa kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara agar perlindungan kesihatan kekal mampan, inklusif dan mampu milik untuk semua rakyat.
Langkah ini dilihat sebagai usaha melindungi pengguna daripada produk insurans yang kompleks serta berisiko tinggi, selain menyokong transformasi sektor insurans kesihatan negara.