Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan kedudukan kukuh pada USD124.1 bilion setakat 28 November 2025, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh bank pusat.
BNM menjelaskan bahawa rizab semasa mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan yang memperlihatkan keupayaan Malaysia untuk menangani sebarang ketidaktentuan ekonomi global
Selain itu, rizab tersebut ialah 0.9 kali ganda jumlah hutang luar jangka pendek negara. Hal ini menunjukkan simpanan hampir menyamai jumlah hutang luar dalam tempoh setahun.
Menurut BNM, hutang luar jangka pendek kebanyakannya terdiri daripada pinjaman bank tempatan daripada bukan pemastautin bagi tujuan operasi kecairan mata wang asing, serta pinjaman syarikat multinasional dan bank asing daripada ibu pejabat masing-masing di luar negara.
Komitmen berkenaan boleh ditampung melalui operasi biasa menerusi pegangan aset luar mereka dan tidak menimbulkan sebarang tuntutan ke atas rizab antarabangsa BNM.
BNM turut memaklumkan bahawa pengukuran liputan import kini dikemas kini dengan merangkumi import barangan dan perkhidmatan berbeza daripada kaedah terdahulu yang hanya mengambil kira import tertahan barangan. Di bawah kaedah pengukuran lama, rizab negara mampu membiayai 5.8 bulan import tertahan barangan.
Rizab antarabangsa yang kukuh adalah penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara kerana berfungsi sebagai penampan kewangan ketika krisis ekonomi atau ketidaktentuan pasaran dunia.
Kedudukan rizab semasa turut mencerminkan pengurusan ekonomi negara yang berhemah dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.