Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Kerajaan Negeri Melaka terus memperkukuh usaha menarik pelaburan dan mempercepat pembangunan sektor perindustrian melalui inisiatif Melaka Industrial Booster (MIB) yang telah menunjukkan impak positif sejak pelaksanaannya.
MIB berfungsi sebagai pusat sehenti bagi mempermudah dan mempercepat proses pelaburan dengan menyelaraskan kelulusan pembangunan, pemindahan tanah, permulaan kerja, serta pengeluaran lesen operasi.
Inisiatif ini menghimpunkan 29 agensi di bawah satu rangka kerja bagi mengurangkan birokrasi dan mempercepat kemasukan pelabur.
Sehingga Oktober 2025, sebanyak 72 syarikat dan projek industri telah menerima kelulusan dan memulakan operasi di negeri ini melalui sokongan MIB.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti komitmen kerajaan negeri bagi menjadikan Melaka destinasi pelaburan mesra industri yang berdaya saing.

Dalam pada itu, sempena majlis penganugerahan Chief Minister Industrial Excellence Award 2025 (CMIEA 2025), kerajaan negeri turut memberikan pengiktirafan kepada syarikat tempatan dan syarikat multinasional yang menyumbang kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan di Melaka atas usaha merangsang pertumbuhan ekonomi industri.
Kerajaan negeri menegaskan bahawa MIB bukan hanya berperanan mempercepat kelulusan pelaburan, malah menjadi komponen penting dalam strategi pembangunan jangka masa panjang bagi memacu industri berimpak tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab pelaburan utama di Malaysia.