Diterbitkan pada 26 November 2025, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir, serta meningkatkan persediaan mereka bagi menghadapi risiko bencana tersebut pada masa hadapan.

RAFt ditubuhkan pada Ogos 2025 sebagai penambahbaikan kepada Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) yang sebelum ini disediakan oleh BNM semasa kejadian banjir besar. Langkah ini diambil berikutan situasi banjir di negara ini yang semakin membimbangkan dan memerlukan sokongan berstruktur kepada PKS.

Menerusi RAFt, PKS boleh memohon dua jenis pembiayaan sehingga RM1 juta setiap satu. Pembiayaan bantuan disediakan selepas berlakunya banjir besar untuk meringankan beban kewangan dan menyokong pemulihan perniagaan. Sementara itu, pembiayaan adaptasi pula boleh dimohon pada bila-bila masa bagi membolehkan PKS melabur dalam perlindungan dan meningkatkan daya tahan terhadap banjir.

Kedua-dua kemudahan tersebut menawarkan tempoh pembayaran balik hingga tujuh tahun dengan kadar faedah yang rendah, iaitu maksimum 3.5 peratus.

Permohonan boleh dibuat terus melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian seperti Maybank, CIMB Bank, Public Bank, RHB Bank, Hong Leong Bank, AmBank, Alliance Bank, Bank Islam, Bank Muamalat, SME Bank dan United Overseas Bank, termasuk cabang perbankan Islam masing-masing.

RAFt dibuka untuk permohonan sehingga 30 Jun 2027 atau sehingga dana habis digunakan.

PKS yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web rasmi BNM atau menghubungi mana-mana bank yang terlibat.

Inisiatif tersebut diharap dapat membantu PKS bukan sahaja bangkit daripada kesan banjir, tetapi turut membina perniagaan yang lebih berdaya tahan bagi menghadapi cabaran perubahan iklim dan bencana alam pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi