Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Amalan kewangan berhemat perlu dipupuk sejak usia muda kerana ibu bapa dan keluarga merupakan pendorong utama dalam membentuk disiplin serta kemahiran pengurusan wang dalam kalangan kanak-kanak.
Penegasan itu disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arsyad Raja Tun Uda ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan “Hari Ini Suaraku” di Stadium Merdeka, hari ini.
Menurut beliau, pembentukan celik kewangan generasi muda amat penting sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya dalam dunia yang semakin kompleks dan berasaskan maklumat.
Dalam usaha menyemarakkan budaya menabung dan melabur, PNB pada bulan Ogos yang lalu memperkenalkan Kita Generasi Labur, sebuah gerakan baharu yang bertujuan menginspirasikan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda agar membina tabiat menabung dan melabur sejak awal.
Bagi menarik minat kanak-kanak, PNB turut menghidupkan semula maskot ikonik ASNB pada era tahun 1990-an, iaitu tiga anak kucing comel adik-beradik bernama Along, Angah dan Achik.
Kehadiran semula maskot tersebut jelas beliau, bertujuan membantu kanak-kanak memahami nilai menabung, mengurus wang dengan bijak dan membina hubungan positif dengan dunia pelaburan sejak kecil.
“Melalui maskot Along Bijak ini, kami ingin mendekatkan konsep simpanan dan pelaburan kepada kanak-kanak dengan cara yang menyeronokkan dan mudah difahami,” katanya.
Pada peringkat pendidikan formal, PNB turut menamakan 429 buah sekolah di seluruh negara sebagai Sekolah Kelab Pelaburan Bijak yang menjadikan institusi pendidikan sebagai pusat pemupukan ilmu kewangan. Langkah ini merupakan sebahagian usaha memperkenalkan literasi kewangan kepada pelajar secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Sejak program pendidikan sulung PNB diperkenalkan pada tahun 1996, lebih daripada 21,600 penerima biasiswa telah mendapat manfaat dengan nilai keseluruhan melebihi RM560 juta untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.
Menurut beliau, banyak dalam kalangan penerima biasiswa kini berkhidmat sebagai warga kerja PNB dalam pelbagai jawatan, sekali gus menyumbang kembali kepada pembangunan institusi tersebut.
Melalui inisiatif Sekolah Angkat Malaysia Madani PNB, sebanyak 19 buah sekolah angkat telah dikenal pasti di seluruh negara. Kerja penilaian awal, termasuk lawatan ke sekolah berkenaan telah bermula sejak minggu lalu bagi memastikan setiap institusi menerima sokongan tambahan yang diperlukan dengan melibatkan juga para pelajar di institusi pendidikan tinggi dan kolej vokasional.
Program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2024 itu bertujuan membangunkan celik kewangan dan memperkasakan pelajar dengan ilmu asas kewangan supaya mampu membuat keputusan kewangan yang bijak, sekali gus menjamin masa hadapan yang lebih stabil.
“Melabur awal ialah pilihan tepat demi kehidupan yang sejahtera dan masa hadapan yang selamat,” tegas beliau mengakhiri ucapan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, YBhg. Datuk Murad Sayang Ramjan.