Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kumpulan Fokus Perusahaan Kecil dan Sederhana (SFG) di bawah Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3) menganjurkan Persidangan Iklim SFG untuk PKS 2025 yang pertama pada 17 November 2025 di Sasana Kijang dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan United Overseas Bank (UOB) Malaysia.
Acara tersebut menarik lebih daripada 400 peserta terdiri daripada usahawan, institusi kewangan, agensi kerajaan dan pihak industri.
Bertemakan “Membina Ketahanan Iklim: Tindakan Praktikal untuk PKS”, persidangan tersebut bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memahami risiko berkaitan dengan iklim dan langkah yang boleh diambil untuk menanganinya.
Penolong Gabenor BNM merangkap Pengerusi Bersama JC3, YBrs. Puan Madelena Mohamed menegaskan bahawa tindakan berkaitan dengan iklim memerlukan kos, namun kegagalan bertindak pada hari ini akan mengundang implikasi lebih besar kepada generasi akan datang.
Beliau turut menekankan bahawa pematuhan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bukan lagi pilihan, malah menjadi keperluan utama bagi PKS yang terlibat dalam rantaian bekalan global.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, YBrs. Encik Ng Wei Wei pula menyatakan bahawa platform ini berperanan sebagai pemangkin kerjasama awam–swasta bagi memastikan aspirasi iklim diterjemah kepada tindakan yang memberikan impak sebenar.
Persidangan ini turut memperkenalkan lima alat praktikal untuk membantu PKS memulakan perjalanan kelestarian mereka, iaitu Portal ESG Jumpstart, Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt), Katalog Data Iklim JC3, Panduan Pendedahan ESG Ringkas (SEDG) dan Kalkulator Pelepasan GHG, serta Rangka Kerja Pencegahan Kerugian PKS.
Selain sesi panel yang membincangkan risiko iklim, cabaran sektor dan kisah kejayaan PKS, pameran yang diadakan memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan akses terus kepada sumber, sokongan teknikal dan pembiayaan hijau daripada institusi kewangan dan rakan ekosistem.
YBrs. Puan Madelena turut menggesa institusi kewangan untuk memainkan peranan lebih signifikan melalui penyediaan khidmat nasihat, pembinaan modal insan dan akses pembiayaan bagi menyokong usaha penyesuaian iklim dalam kalangan PKS.
Persidangan ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha JC3 untuk membangunkan sektor PKS yang lebih inklusif, berdaya saing dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.