Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan USD124.1 bilion setakat 14 November 2025, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan negara yang stabil dan kukuh.
Dalam kenyataan BNM, rizab berkenaan mampu membiayai keperluan import barangan dan perkhidmatan negara selama 4.8 bulan.
Rizab ini juga bersamaan 0.9 kali ganda jumlah hutang luar negeri jangka pendek yang menandakan tahap kecairan kewangan negara berada pada paras yang memuaskan untuk memenuhi tanggungjawab antarabangsa.
BNM menjelaskan bahawa ukuran liputan import kini menggunakan kaedah baharu yang merangkumi import barangan dan perkhidmatan bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh berbanding dengan kaedah terdahulu yang menilai import tertahan barangan sahaja. Mengikut ukuran sebelumnya, rizab negara mampu membiayai 5.8 bulan import tertahan.
Menurut bank pusat itu lagi, nisbah hutang luar negeri jangka pendek dikira berdasarkan data rizab sehingga 14 November 2025 dan data hutang luar negeri jangka pendek bagi suku ketiga tahun 2025.
Hutang jangka pendek tersebut merangkumi pinjaman daripada bukan pemastautin dengan tempoh matang satu tahun atau kurang. Sebahagian besar hutang ini berkaitan dengan operasi kecairan mata wang asing bank pemastautin dan pinjaman syarikat antarabangsa (termasuk bank asing) daripada ibu pejabat mereka di luar negara.
BNM menegaskan bahawa tanggungjawab itu boleh dipenuhi melalui operasi biasa daripada pegangan aset luar entiti terlibat tanpa memberikan tekanan kepada rizab antarabangsa bank pusat.
Pengumuman mengenai kedudukan rizab ini mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.
Kedudukan rizab yang kukuh turut memberikan jaminan bahawa negara mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang cabaran ekonomi pada masa hadapan.