Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam — Negeri Selangor telah mengiktiraf sumbangan penting pelabur tempatan dan antarabangsa bersama-sama pihak berkepentingan utama melalui Majlis Anugerah Pelabur Selangor (SIAA) 2023–2024 yang dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, YBhg. Datuk Hasan Azhari Idris dalam ucapannya menyatakan bahawa walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi global seperti impak pascapandemik COVID-19, ketegangan geopolitik, ketidakpastian perdagangan dan tekanan inflasi, Selangor tetap menunjukkan daya tahan tinggi dan berjaya menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Beliau turut berkongsi angka pertumbuhan pelaburan negeri, iaitu pada tahun 2023, jumlah pelaburan yang diluluskan ialah RM55.3 bilion, manakala pada tahun 2024, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM101.1 bilion menjadikannya negeri pertama yang melepasi paras RM100 bilion dalam tempoh dua tahun.
Pada majlis tersebut, beberapa kategori anugerah dipersembahkan termasuk Anugerah Pelaburan Tertinggi (untuk syarikat asing dan tempatan), Anugerah Lokasi Pelaburan Pilihan di Selangor, pengiktirafan untuk taman perindustrian lestari (MIP), program Soft Landing Selangor, serta pengiktirafan kepada agensi kerajaan dan teknikal.
Antara penerima anugerah termasuklah pemain industri utama daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi tinggi seperti Petronas Research, Texas Instruments Malaysia, Gamuda Land Leisure, Maruss Sdn. Bhd. dan Chery Corporate Malaysia termasuk penguat kuasa pihak berkuasa tempatan.
Dalam majlis yang sama, Invest Selangor dan UOB Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh ekosistem pelaburan Selangor.
Kerjasama tersebut merangkumi sokongan kewangan pelaburan, khidmat nasihat, perkhidmatan akaun korporat, serta promosi bersama bagi menarik lebih banyak pelabur dan memperluas rangkaian rantaian bekalan tempatan.
Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut hadir menyatakan penghargaan kepada para pelabur dan pihak berkepentingan atas keyakinan mereka terhadap negeri Selangor, sambil menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

YBhg. Datuk Hasan Azhari menegaskan bahawa Invest Selangor akan terus mempergiat usaha menarik pelaburan melalui program strategik seperti Selangor International Business Summit (SIBS), Selangor Aviation Summit (SAS), program Soft Landing, serta inisiatif jangkauan kerjaya dan pelaburan makmal (SCOUT dan Selangor Lab Partnership).
Melangkah ke hadapan, kerajaan negeri sedang membangunkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pertumbuhan mampan dan daya tahan ekonomi jangka panjang. Langkah ini diharap dapat memberikan hala tuju yang jelas kepada pelabur dan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan serantau.