Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menganjurkan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi industri sawit.
Bertemakan “Transforming Today, Empowering Tomorrow Through Innovation”, PIPOC 2025 menghimpunkan lebih daripada 3,000 peserta, 100 pakar antarabangsa dan lebih daripada 400 pempamer dari 13 negara bagi membincangkan cabaran semasa, serta meneroka inovasi baharu demi masa hadapan industri sawit mampan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof yang menegaskan peranan penting Malaysia dalam keterjaminan makanan global, serta kedudukan negara sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia.
Yang turut hadir sama ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menekankan komitmen kementerian dalam memacu inovasi, pendigitalan dan kemampanan rantaian nilai sawit negara.
PIPOC 2025 turut menyaksikan pelancaran enam produk inovasi MPOB merangkumi lima produk bukan makanan berasaskan sawit bagi menggantikan bahan petrokimia, serta satu produk makanan, Nano Tokotrienol yang menawarkan kadar penyerapan vitamin E lebih tinggi.
Sejak penubuhannya, MPOB telah mengkomersialkan lebih daripada 200 teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan mendaftarkan 394 paten, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi sawit global.
PIPOC 2025 terus berperanan sebagai platform strategik untuk mempromosikan teknologi baharu, memperkukuh jaringan industri, serta mengangkat Malaysia sebagai peneraju industri minyak sawit mampan dunia.