Diterbitkan pada 17 November 2025, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shanghai – Malaysia berjaya memperoleh 2,500 penempatan baharu bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China untuk tahun 2026, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sebelum ini sebanyak 5,125 tempat telah ditawarkan kepada belia Malaysia untuk menjalani latihan TVET di institusi utama dan industri di China.

Menurut beliau, penambahan kuota tersebut dibuat susulan kejayaan program terdahulu yang merangkumi kursus jangka pendek antara satu hingga enam bulan.

Beliau turut menegaskan bahawa kadar kebolehpasaran graduan TVET yang menjalani latihan di China mencapai 100 peratus. Syarikat China yang melabur di Malaysia bersetuju mengambil pelatih berkenaan bekerja selepas tamat latihan.

Beliau menjelaskan bahawa langkah ini antara usaha strategik untuk mengurangkan kebergantungan negara pada pekerja asing dalam tempoh kurang daripada 15 tahun.

Bagi memperkukuh pelaksanaan program, beberapa inisiatif dan kerjasama turut dilancarkan antaranya termasuklah penubuhan Institut Guangqi sebagai hab latihan bersama dalam bidang semikonduktor dan elektronik lanjutan. Sebanyak 500 peserta akan mengikuti latihan bernilai RM10 juta di institut tersebut.

Selain itu, program SIYUAN Skill Advancement and Employment (SAEP) disasarkan kepada 2,500 belia Malaysia dengan nilai keseluruhan RM 12.5 juta. Program berkenaan merangkumi latihan dalam sektor rel transit, e-dagang, logistik dan keselamatan siber, serta menawarkan peluang penempatan pekerjaan bersama syarikat China yang mempunyai operasi di Malaysia.

Bagi mengukuhkan kerjasama pendidikan dan industri, Malaysia-China TVET Industry-Education Alliance (MC-IEA), turut dilancarkan dengan pendekatan “Train-Intern-Job Placement”. Insentif ini melibatkan pembiayaan bersama (co-funding) bernilai RM10 juta bagi peralatan latihan dan penyertaan 15 institusi TVET di China.

YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut mengumumkan kerjasama rasmi antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan China Global Professional and Technical Certification Center (CGPTC) yang membolehkan tenaga pengajar dan pelatih Malaysia memperoleh pengiktirafan mengikut piawaian profesional China. Melalui kerjasama tersebut, sebanyak 2,000 tenaga mahir Malaysia disasarkan memperoleh pensijilan profesional China menjelang tahun 2026.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, program latihan satelit dwikampus turut diperluas melibatkan 10 institusi TVET China dan tiga institusi TVET Malaysia termasuk Kolej TVET Belia Mahir, Kolej Kemahiran Pure Technic dan MCITVET.

Melalui program tersebut, pelajar akan mengikuti teori di Malaysia sebelum menjalani latihan praktikal di China dalam bidang kenderaan elektrik, mekatronik, kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi