Diterbitkan pada 15 November 2025, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ekonomi Malaysia terus mencatatkan momentum positif apabila berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga tahun 2025 berbanding dengan 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, serta peningkatan dalam eksport bersih.

Menurut BNM, perbelanjaan isi rumah kekal kukuh berikutan pasaran pekerjaan yang positif, langkah peningkatan pendapatan, serta pemberian bantuan tunai kerajaan. Aktiviti pelaburan turut mengukuh seiring dengan pelaksanaan projek peluasan modal oleh sektor swasta dan awam.

Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, terutamanya subsektor berkaitan dengan pengguna dan pengeluaran barangan elektrik dan elektronik (E&E). Sektor perlombongan juga menunjukkan pemulihan selepas melalui tempoh penyelenggaraan berjadual yang menjejaskan pengeluaran minyak mentah dan gas asli sebelum ini.

BNM melaporkan inflasi utama kekal stabil pada 1.3 peratus, manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada dua peratus. Penurunan harga elektrik dan diesel membantu meredakan tekanan inflasi sepanjang suku tersebut.

Mata wang ringgit turut merekodkan prestasi yang lebih baik apabila mengukuh 0.8 peratus berbanding dengan mata wang rakan dagang utama Malaysia, selain kekal stabil berbanding dengan dolar Amerika Syarikat. Sentimen pasaran disokong oleh penyusutan kadar faedah Rizab Persekutuan AS dan pengumuman perjanjian perdagangan baharu.

Sektor kewangan pula mencatatkan pertumbuhan kredit sebanyak 5.9 peratus dipacu oleh peningkatan dalam bon korporat dan pinjaman perniagaan. Permintaan pinjaman isi rumah kekal stabil meskipun pertumbuhan pinjaman peribadi dilaporkan sedikit perlahan.

BNM mengekalkan unjuran pertumbuhan rasmi bagi tahun 2025 antara empat peratus hingga 4.8 peratus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaksanaan projek infrastruktur, pelaburan swasta, serta pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan dan komoditi.

Gabenor BNM, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi ekonomi pada suku ketiga mencerminkan keupayaan Malaysia menghadapi cabaran global.

“Kita perlu terus memperkukuh daya tahan ekonomi bagi berdepan dengan ketidaktentuan global yang berterusan,” ujar beliau.

Inflasi dijangka kekal sederhana sehingga tahun 2026 disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang stabil dan kos global yang semakin reda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi