Diterbitkan pada 13 November 2025, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025 anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang berlangsung di Dewan Damar Sari, Parcel F.

Bertemakan “Merakyatkan Pembangunan MADANI”, simposium ini menekankan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.

Majlis tersebut turut menjadi platform penting bagi menilai keberhasilan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), serta sebagai persediaan awal menuju RMK-13 yang bermula pada tahun 2026.

Penganjuran SPAPN 2025 juga memperkukuh nilai inovasi, integriti dan kerjasama antara agensi kerajaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam majlis itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meraih Tempat Kedua bagi kategori Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik bagi peruntukan melebihi RM1 bilion.

Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak ketika menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pengiktirafan tersebut menjadi bukti kecekapan pelaksanaan serta komitmen kementerian bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Anugerah berprestij itu telah diterima oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Fadillah Yusof bersama-sama Ketua Pengarah ICU JPM, YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, serta Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi