Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur –Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pendekatan seluruh negara bagi memastikan keberkesanan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Menteri KPDN, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen ini bertujuan merangsang ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, menonjolkan kualiti produk Malaysia yang setanding jenama antarabangsa serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pengguna.
KPDN turut bekerjasama dengan pengendali platform e-dagang untuk memperluas pasaran dan promosi produk tempatan secara dalam talian di bawah tema #JomBeliLokal. Sepanjang tahun 2024, hasil jualan produk tempatan melalui KBBM mencecah RM1.99 bilion melibatkan lebih 1.6 juta unit penyimpanan stok (SKU). Melihat kepada trend pembelian dalam talian, KPDN akan terus memperkukuh pelaksanaan KBBM secara digital.
Antara rakan strategik utama termasuklah TikTok Shop Malaysia yang menganjurkan TikTok Shop 11.11 Mega Sale Carnival 2025 di Pavilion Bukit Jalil. Acara tiga hari bermula 7 November hingga 9 November ini menghimpunkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta pempengaruh tempatan dengan pelbagai aktiviti hiburan dan promosi menarik.
Sepanjang jualan mega tersebut, pengguna menikmati tawaran seperti penghantaran percuma, baucar diskaun hingga 30 peratus, beli satu percuma satu, serta harga mampu milik bagi barangan keperluan.
Selain itu, KPDN melalui MyIPO bekerjasama dengan TikTok bagi meningkatkan kesedaran dan perlindungan harta intelek dalam kalangan usahawan digital, termasuk memperkukuh advokasi, pendidikan dan penguatkuasaan hak harta intelek dalam persekitaran digital.