Diterbitkan pada 7 November 2025, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima kunjungan hormat daripada Secretary of the Party Committee and Director-General, Hunan Provincial Supply and Marketing Cooperative Union, Encik Zhou Xiaoli baru-baru ini sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia.

Wilayah Hunan yang terkenal sebagai pengeluar utama makanan seperti teh, limau (citrus) dan padi di China turut mempunyai sistem pasaran hasil tani, inovasi pertanian dan rangkaian koperasi yang berkembang pesat.

Dalam sesi pertemuan tersebut, delegasi Hunan menyatakan minat untuk memperkukuh perdagangan dan meneroka peluang kerjasama ekonomi dengan Malaysia dalam sektor agromakanan.

Malaysia turut menyatakan hasrat untuk meneroka beberapa bidang kerjasama utama, termasuk pengeluaran jagung bijirin untuk makanan ternakan bagi mengukuhkan rantaian bekalan makanan.

Perbincangan juga merangkumi kerjasama dalam mekanisasi dan automasi pertanian melalui penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan negara.

Selain itu, usaha penternakan moden babi khinzir, pembangunan benih padi, serta pelaburan dalam industri benih turut dibincangkan bagi menyokong daya tahan dan inovasi dalam pengeluaran makanan negara.

Pada tahun 2024, nilai dagangan dua hala sektor pertanian antara Malaysia dengan China mencecah RM45.31 bilion. Eksport Malaysia berjumlah RM23.43 bilion melibatkan pelbagai produk makanan, manakala import dari China merangkumi antaranya sayuran dan buah-buahan. China kini menjadi rakan dagang utama Malaysia dalam sektor pertanian global.

Dalam pertemuan tersebut juga, Malaysia memaklumkan kejayaan negara mengeksport sarang burung dan durian segar ke China. Malaysia berharap lebih banyak produk makanan halal negara dapat menembusi pasaran tersebut, selain meningkatkan eksport produk perikanan dan makanan laut.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan strategik sektor agromakanan seiring usaha Malaysia mempertingkatkan jaminan bekalan makanan dan daya tahan rantaian pertanian negara.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi