Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus.
Keputusan ini disifatkan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam keadaan inflasi yang kekal terkawal.
Menurut Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM, pendirian dasar monetari semasa dianggap sesuai dan menyokong aktiviti ekonomi sambil mengekalkan kestabilan harga.
BNM menjangkakan prestasi ekonomi Malaysia akan terus bertambah baik pada suku ketiga tahun ini dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan dan pemulihan dalam pengeluaran komoditi.
Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi dijangka terus disokong oleh pertumbuhan pekerjaan dan kenaikan gaji, selain langkah peningkatan pendapatan oleh kerajaan yang akan menggalakkan perbelanjaan isi rumah.
Aktiviti pelaburan pula akan terus berkembang hasil pelaksanaan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaburan yang telah diluluskan dan inisiatif di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13). Langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 juga dijangka menyumbang kepada momentum pertumbuhan ekonomi negara.
Dari segi inflasi, BNM melaporkan bahawa inflasi keseluruhan dan teras masing-masing mencatatkan purata 1.4 peratus dan 1.9 peratus setakat ini. Bank pusat menjangkakan inflasi akan kekal sederhana pada tahun 2026 sejajar dengan penurunan kos global dan harga komoditi yang stabil.
BNM menambah bahawa inflasi teras dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya yang mencerminkan pengembangan aktiviti ekonomi tanpa tekanan permintaan yang berlebihan.
Walau bagaimanapun, BNM kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan global, termasuk dasar tarif yang lebih tinggi dan ketegangan geopolitik yang boleh memberikan kesan terhadap prospek ekonomi global.
BNM menegaskan akan terus memantau perkembangan ekonomi dan menilai keseimbangan risiko terhadap pertumbuhan dan inflasi domestik.
MPC BNM dijadualkan mengadakan enam mesyuarat pada tahun 2026 dengan mesyuarat pertama akan bermula pada 22 Januari 2026.