Diterbitkan pada 4 November 2025, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya –Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh budaya inovasi dan integriti melalui penganjuran Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2025 (HII 2025) yang berlangsung meriah di Dewan Bangsawan, Menara HASiL, Cyberjaya serta disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube HASiL_Malaysia.

Program tersebut menjadi platform penting bagi memupuk kreativiti warga kerja HASiL ke arah meningkatkan keupayaan organisasi dan memperkukuh kedudukannya sebagai institusi percukaian negara yang unggul.

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying menyatakan rasa bangga melihat komitmen HASiL dalam mengukuhkan transformasi digital sektor awam seiring pelaksanaan menyeluruh e-Invois bermula tahun 2026 dan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem.

Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying berucap semasa merasmikan HII 2025.

Transformasi tersebut selari dengan agenda kerajaan untuk memperkasakan tadbir urus fiskal, mengurangkan kebergantungan pada hasil tradisional dan memastikan sistem percukaian kekal relevan, berdaya saing dan mesra rakyat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menegaskan bahawa inovasi dan integriti bukan sekadar laungan tahunan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan kepada warga HASiL untuk terus berani melakukan perubahan.

Budaya inovasi yang konsisten akan menjadikan organisasi lebih tangkas menghadapi cabaran, berupaya menjanakan nilai baharu dan melahirkan warga kerja berprestasi tinggi yang komited kepada kecemerlangan jangka masa panjang.

Sempena HII 2025, HASiL turut melancarkan sepuluh produk baharu merangkumi aspek teknologi dan perkhidmatan profesional, selain mengiktiraf kecemerlangan warga kerjanya melalui tujuh pertandingan.

Timbalan Menteri Kewangan (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada pemenang Anugerah Inovasi CEO (AICEO) Tahun 2025 sempena HII 2025.

Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pameran agensi strategik awam dan swasta, pameran produk dan perkhidmatan serta gerai jualan.

HASiL yakin bahawa gabungan antara inovasi dengan integriti merupakan faktor penentu kejayaan organisasi dalam jangka masa panjang. Inovasi membuka ruang penciptaan nilai baharu, manakala integriti memastikan kepercayaan pembayar cukai terus terpelihara.

Kedua-duanya menjadi asas penting bagi membina ekosistem percukaian negara yang cekap, telus dan mampan, seterusnya menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 di bawah RMK-13.

Yang turut hadir ialah barisan Anggota Lembaga LHDNM, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, pegawai kanan HASiL serta tetamu jemputan.

Timbalan Menteri Kewangan bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan tetamu jemputan sempena sambutan HII 2025.

Untuk pertanyaan atau maklum balas, orang ramai boleh menghubungi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi