Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTemerloh – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro melalui penganjuran Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Lurah Semantan, Temerloh, Pahang.
Menurut KUSKOP, karnival yang diadakan dari 31 Oktober 2025 hingga 2 November 2025 itu melibatkan penyertaan lebih daripada 800 usahawan mikro termasuk usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI), penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara serta peniaga kecil Pekan Sehari Temerloh.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick berkata, nilai jualan sepanjang karnival melepasi sasaran RM1 juta, manakala potensi pembiayaan mencecah RM4 juta menjadikan jumlah keseluruhan impak ekonomi sebanyak RM5 juta.

“Penganjuran HPPK 2025 turut menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih daripada 45,000 pengunjung sepanjang tiga hari, sekali gus membuktikan sokongan padu rakyat terhadap sektor penjaja dan peniaga kecil sebagai pemacu ekonomi rakyat,” ujar beliau.
Beliau berkata, selain meraikan sumbangan penjaja dan peniaga kecil, KUSKOP turut memperkukuh daya saing mereka melalui program latihan, bimbingan dan inisiatif pendigitalan keusahawanan.
Fokus KUSKOP adalah untuk memastikan lebih banyak peniaga mikro beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai, platform e-dagang dan strategi pemasaran digital.
“Pendigitalan ini dilaksanakan secara bersepadu melalui pelbagai program dan inisiatif agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” jelas beliau
Antara inisiatif khas tersebut termasuklah Khemah Jajahan Rakyat oleh Bank Rakyat yang menyediakan pembiayaan mikro, khidmat nasihat kewangan serta bimbingan digital sejajar dengan komitmen memperluas peluang ekonomi rakyat pada peringkat akar umbi.
Penganjuran HPPK2025 memberikan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat apabila hampir 800 bilik hotel dan inap desa ditempah sepenuhnya, selain peningkatan nilai jualan berganda dalam kalangan peniaga tempatan.
Majlis Perasmian Penutupan HPPK2025 Peringkat Kebangsaan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang mawakiili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bertemakan “Memacu Ekonomi MADANI, Memperkasakan Usahawan Mikro”, HPPK2025 menjadi manifestasi komitmen berterusan KUSKOP bagi memperkukuh daya tahan dan kemampanan ekonomi rakyat, khususnya melalui pemerkasaan digital, pembiayaan inklusif dan latihan keusahawanan secara berterusan.