Diterbitkan pada 1 November 2025, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gyeongju – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tetap menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) untuk memperluas ilmu, mempercepat inovasi dan mencipta peluang baharu yang mampu mengangkat martabat rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara Malaysia dalam sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) (AELM) yang memberikan tumpuan terhadap tema “Membina Asia-Pasifik yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan” di Gyeongju, Korea Selatan, hari ini.

Beliau percaya bahawa kekuatan sebenar teknologi Malaysia terletak pada keupayaannya yang mengangkat tamadun, bukan mempercepat nilai luhur yang menjadi asasnya.

“AI bukan lagi sekadar peranti canggih di hujung jari, kini menjadi nadi masa hadapan kita. Persoalannya bukan lagi sama ada kita harus menerima AI, tetapi bagaimanakah teknologi ini dapat menyantuni manusia tanpa rasa terbeban, serta tidak menghakis nilai yang membentuk kemanusiaan.

“Lebih setengah abad lalu, filasuf Jerman, Martin Heidegger mengingatkan bahawa asas roh teknologi tidak terletak pada mesin yang kita cipta, sebaliknya bagaimanakah kita boleh mengubah cara berfikir, berperilaku dan mencari makna hidup,” ujarnya yang mengikuti persidangan itu bermula pada 31 Oktober hingga 1 November 2025.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan bahawa kemajuan di Malaysia tidak boleh diukur semata-mata dengan kecekapan atau keuntungan. Pertumbuhan digital mesti bergerak seiring dengan tenaga boleh baharu, kelestarian alam dan prinsip moral yang tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak mahu peranti menentukan takdir manusia suatu hari nanti. Sebaliknya, kita ingin membina masa hadapan AI yang memperkasakan kreativiti manusia, memperkukuh komuniti dan memperkayakan jiwa,” tambah beliau lagi.

Beliau tidak menafikan bahawa hari ini cabaran dan peluang muncul daripada lonjakan AI, serta transformasi digital yang sedang mencorak semula kehidupan, ekonomi dan peradaban manusia.

“Peringatan ini sangat relevan tatkala algoritma dan data mula membentuk pandangan dunia, serta mempengaruhi setiap keputusan yang sepatutnya ditentukan oleh akal budi dan nilai kemanusiaan,” tambah beliau.

Selain itu, teknologi mesti kekal sebagai alat kemajuan insan bukan pengganti makna kemanusiaan. Yang penting bukan hanya untuk menjadi negara pintar, tetapi bangsa yang bijaksana kerana kemajuan tanpa nilai serta hikmah hanya akan membawa dunia dan manusia kehilangan arah dan makna.

Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi