Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Bagi menyemarakkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan cukai, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menganjurkan Majlis Sambutan Bulan Pendidikan Cukai 2025 [TAXEDU MONTH 2025 (TEM 2025)] yang berlangsung dengan penuh meriah di Elmina Lakeside Mall, Shah Alam.
Program yang diadakan bersempena dengan Bulan Literasi Kewangan ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 2,000 orang pengunjung.
Sambutan tersebut mencerminkan komitmen masyarakat terhadap usaha HASiL memperkukuh literasi dan kesedaran percukaian di Malaysia.
Majlis Sambutan Bulan Pendidikan Cukai 2025 merupakan platform interaktif bagi menyebarluaskan kesedaran cukai melalui pelbagai aktiviti sosial dan kebudayaan yang melibatkan kanak-kanak, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) serta orang awam.
Penganjuran program di kompleks membeli-belah merupakan pendekatan baharu dan lebih santai bagi memperkukuh kesedaran dan pendidikan cukai dalam kalangan masyarakat. Langkah ini membolehkan mesej tanggungjawab percukaian disampaikan dengan lebih dekat kepada segenap lapisan masyarakat termasuk keluarga dan golongan muda.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Shaharrudy Othman dalam ucapan perasmian berkata, pendekatan santai dan inklusif dalam program ini penting bagi memastikan mesej literasi cukai dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Ujarnya, pendekatan ini menjadi wadah bagi HASiL untuk mendekati masyarakat sambil memperkukuh kefahaman tentang tanggungjawab membayar cukai dan menggalakkan pengurusan kewangan yang bijak. Selain itu, program ini dapat menyemai kesedaran bahawa setiap individu memainkan peranan penting bagi membina masa hadapan negara yang lebih makmur dan sejahtera.
Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang sambutan termasuklah “Pertandingan Taxplorace” yang melibatkan pelajar IPT, Pertandingan Dikir Barat Terbuka, Kuiz Interaktif Percukaian, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, sesi interaktif bersama-sama selebriti pempengaruh yang juga merupakan Rakan Strategik HASiL serta Kaunter Informasi Cukai dan e-Invois.
Dalam sambutan pada kali ini, kumpulan Warisan Seni Samudera berjaya dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Dikir Barat Terbuka, manakala pasukan UITaxperts (UiTM Shah Alam) muncul sebagai johan “Pertandingan Taxplorace”.
HASiL berharap penganjuran program seperti ini dapat terus memperkukuh tahap kesedaran cukai dalam kalangan masyarakat, sekali gus membina budaya pematuhan cukai secara sukarela.
Usaha berterusan ini diyakini mampu memastikan kelangsungan sumber hasil negara serta menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan ekonomi yang mampan.

Yang turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Khidmat Korporat HASiL, YBrs. Encik Shahrul Niza Bishahrin; Pengarah HASiL Negeri Selangor, YBrs. Puan Hamisah Ismail, serta barisan pengurusan kanan HASiL.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklum balas, orang ramai boleh menghubungi: