Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru usahawan bumiputera wanita agar lebih berani dan bersasar bagi meneroka pasaran antarabangsa melalui produk berjenama Malaysia demi memperkukuh kedudukan ekonomi negara pada peringkat global.
Beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melancarkan inisiatif “Gate to Global” yang memberikan peluang kepada usahawan memasarkan produk mereka di luar negara di bawah satu jenama tunggal yang akan dikenali secara meluas.
Dalam ucapan perasmian Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI, beliau berkata,
Saya telah meminta Pengerusi MARA untuk mempromosikan produk ini di bawah satu jenama. Produk ini perlu dikeluarkan secara OEM (pengeluar peralatan asli) supaya pasaran dunia melihat produk tersebut dari Malaysia.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sebanyak RM52 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasakan sektor keusahawanan yang melibatkan 17 kementerian termasuk peruntukan RM4 bilion kepada MARA.

Beliau menambah, usahawan wanita mempunyai rekod yang baik dalam pengurusan perniagaan dengan kadar pinjaman tidak berbayar (non-performing loan) hanya 0.25 peratus, jauh lebih rendah berbanding dengan peminjam lelaki.
Selain itu, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya lima peratus usahawan mikro dinaik taraf ke kategori kecil setiap tahun, manakala lima peratus daripada usahawan kecil pula digalakkan melonjak ke tahap sederhana dan seterusnya disenaraikan di bursa saham.
Bagi memastikan pertumbuhan yang berdaya tahan, beliau menegaskan bahawa kejayaan usahawan bumiputera tidak boleh bergantung semata-mata pada geran, sebaliknya perlu disokong melalui pinjaman berstruktur dan bimbingan berterusan.
Dalam konteks pasaran bernilai tinggi, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid turut menyarankan agar usahawan bumiputera menumpukan perhatian pada sektor produk halal global yang dijangka mencecah nilai USD5 trilion menjelang tahun 2030.