Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau melangkah setapak ke hadapan dengan pelancaran Kaukus PKS ASEAN (Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara), satu platform strategik yang menghimpunkan usahawan dari seluruh negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan serta memperkasakan suara komuniti perniagaan rantau ini.
Pelancaran rasmi platform tersebut disempurnakan sempena Forum PKS ASEAN 2025 yang berlangsung di ibu negara.
Majlis turut dihadiri pemimpin industri, pembuat dasar dan wakil pertubuhan perniagaan dari seluruh rantau.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Seri R. Ramanan, penubuhan kaukus berkenaan bukan sekadar menjadi ruang pertemuan antara usahawan, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin kepada dialog dasar, perkongsian pengetahuan dan usaha kolaboratif bagi memperkukuh daya saing PKS pada peringkat serantau.
Dalam ucapan perasmian, beliau berkata,
Kaukus ini akan menjadi wadah penting untuk kita berbincang dan merangka strategi bersama, khususnya bagi menghadapi cabaran global yang semakin mencabar seperti ketegangan geopolitik, perang dagang yang berlarutan dan gangguan rantaian bekalan.
Beliau turut menegaskan bahawa PKS di rantau ASEAN perlu berani merebut peluang baharu yang diwujudkan melalui perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memperluas pasaran dan meningkatkan daya tahan ekonomi masing-masing.
YB Datuk Seri Ramanan juga menekankan kepentingan digitalisasi sebagai kunci utama kejayaan PKS dalam era ekonomi global yang berteraskan teknologi.
“Digitalisasi ialah pasport PKS ke pasaran antarabangsa. PKS yang berani berinovasi dan beradaptasi dengan perubahan akan terus kekal relevan serta berdaya saing,” ujar beliau.
Forum dua hari itu turut menjadi platform perbincangan pelbagai isu strategik termasuk transformasi digital, akses kepada pembiayaan, pembangunan bakat keusahawanan, serta peluang integrasi ekonomi serantau.
Program berkenaan menghimpunkan ratusan peserta terdiri daripada usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan dari negara ASEAN.
Penganjuran forum dan pelancaran Kaukus PKS ASEAN dijangka membuka ruang kepada jaringan kerjasama yang lebih luas antara sektor awam dengan swasta, sekali gus memperkukuh peranan PKS sebagai tulang belakang ekonomi rantau ini.