Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) akan ditamatkan secara rasmi pada 1 Januari 2029 dan digantikan dengan Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) serta Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i).
Menurut kenyataan BNM, langkah itu merupakan inisiatif proaktif bagi memastikan kadar rujukan kewangan domestik kekal kukuh serta selaras dengan pembaharuan kadar rujukan global.
MYOR dan MYOR-i yang diperkenalkan masing-masing pada tahun 2021 dan tahun 2022 ialah kadar rujukan berasaskan urus niaga sebenar dalam pasaran wang.
Berbeza daripada KLIBOR, kadar ini mencerminkan kos pinjaman semalaman secara lebih tepat dan telus. BNM menjelaskan bahawa perubahan tersebut bukan sekadar pertukaran nama, sebaliknya sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan 2022–2026.
Sebagai panduan kepada industri, BNM turut menyediakan pelan peralihan terperinci. Bermula 1 Oktober 2026, institusi kewangan dijangka bersedia menawarkan produk pinjaman baharu berasaskan MYOR dan MYOR-i. Pada 1 Julai 2027 pula, penggunaan KLIBOR dalam sebarang urus niaga atau kontrak baharu tidak lagi dibenarkan.
Seterusnya, semua kontrak sedia ada yang menggunakan KLIBOR mesti ditukar kepada MYOR atau MYOR-i, atau diselesaikan mengikut peruntukan kontrak selewat-lewatnya pada 30 Jun 2028.
BNM bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan pasaran.
Perubahan ini dijangka memberikan kesan kepada kadar faedah pinjaman dan produk kewangan lain. Sehubungan dengan itu, orang ramai dan perniagaan disarankan memantau maklumat terkini daripada institusi perbankan masing-masing.