Diterbitkan pada 14 Oktober 2025, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang (3KPP) 2025 menjadi platform penting bagi pelajar, graduan dan masyarakat setempat untuk memperkasakan potensi diri dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.

Program tahunan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) itu yang mula diperkenalkan pada tahun 2022 terus berperanan sebagai wahana pembangunan pelajar selaras dengan agenda H.E.B.A.T. yang menekankan pendekatan Holistik, Emosi, Budi, Artikulasi dan Pemikiran.

Berlangsung di Padang Kawad, Kampus Induk USM, karnival berkenaan menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan penyertaan pelajar, staf dan komuniti setempat. Antara program interaktif yang diadakan termasuklah “Accessories Bar”, “Online Talk bersama-sama PT Kasir Pintar International”, “Canvas Painting Workshop”, aktiviti dekorasi kek oleh Cakenic, serta persembahan pentas “Malam DRAMAtic” yang mencuri perhatian pengunjung.

60 reruai mengisi slot yang memastikan kejayaan karnival ini.

Program yang bermula seawal pukul 9.00 pagi turut disertai oleh 35 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh bersama-sama Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Puan Azwati Azmin yang juga Koordinator Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED).

Yang turut serta ialah 10 pelajar Kolej Komuniti Bukit Mertajam dan tujuh pelajar Universiti Malaya (UM) bagi menimba pengalaman dan berkongsi pandangan dalam bidang keusahawanan merentas institusi.

Selain aktiviti ilmiah, suasana karnival turut dimeriahkan dengan gerai jualan makanan, minuman dan produk tempatan yang dikendalikan oleh pelajar serta usahawan muda.

Inisiatif ini bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi dan promosi pelajar, malah memberikan peluang kepada pelajar mempraktikkan ilmu pengurusan perniagaan sebenar.

Kehadiran komuniti sekitar menjadikan karnival ini bukan sekadar medan pendedahan ilmu, tetapi juga sambutan komuniti yang inklusif dan bersemangat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr. Azlan Amran yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pelibatan langsung pelajar dengan syarikat dan organisasi berprestij mampu memberikan impak besar terhadap pembangunan ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Saya berharap program ini memberikan manfaat kepada semua peserta, pelajar, graduan, usahawan dan masyarakat Pulau Pinang. Semoga karnival ini menjadi titik permulaan kepada perkembangan sahsiah pelajar dan pembangunan ekonomi negeri,” ujar beliau.

Profesor Dr. Azlan turut berkongsi pengalaman peribadi dalam bidang perniagaan sebelum memilih kerjaya akademik dengan menegaskan bahawa kegagalan juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dalam keusahawanan.

“Saya sendiri pernah mencuba berniaga, malah pernah mengalami kegagalan. Namun begitu, saya belajar bahawa dunia keusahawanan memerlukan daya tahan dan kreativiti, lebih-lebih lagi dalam era digital yang amat berimpak tinggi,” tambah beliau sambil menyeru pelajar memanfaatkan platform seperti 3KPP sebagai ruang promosi dan inovasi.

Sementara itu, Pengarah Projek 3KPP 2025, Muhammad Zafran Mohd Sabri menyifatkan kejayaan penganjuran karnival kali ini sebagai hasil kerjasama erat antara Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) serta pelbagai agensi rakan strategik.

“Kami berkongsi misi yang sama, iaitu memartabatkan usahawan di seluruh Pulau Pinang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” ujar beliau.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, YBRs. Profesor Dr. Azizah Omar; Pengarah Kampus Kejuruteraan, YBrs. Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, serta dekan pusat pengajian dan pegawai universiti.

Sebahagian peserta dan sekreteriat karnival bergambar kenang-kenangan.

3KPP 2025 dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA dengan kerjasama Sekretariat 3KPP, Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Sektor Perdagangan, Industri dan Usahawan) serta pelbagai agensi dan perbadanan keusahawanan.

Program ini bukan sahaja memperkasakan usahawan kecil dan sederhana, malah membuka ruang kepada pelajar zon utara membina jaringan strategik bersama-sama pihak industri selaras dengan aspirasi membina ekonomi MADANI yang inklusif dan berdaya saing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi