Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia hampir mencapai sifar kemiskinan tegar dengan kadar hanya 0.09 peratus pada tahun 2024 berbanding dengan 0.2 peratus pada tahun 2022, menurut Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024.
Menteri Kewangan II merangkap Menteri Ekonomi, Senator Datuk Seri Amir Hamzah menyatakan bahawa kadar ini memenuhi piawaian antarabangsa yang menetapkan sasaran di bawah tiga peratus.
Pendapatan purata bulanan isi rumah turut meningkat kepada RM9,155, naik 3.8 peratus berbanding dengan tahun 2022. Insiden kemiskinan mutlak menurun kepada 5.1 peratus, manakala jurang pendapatan mengecil dengan pekali Gini susut kepada 0.390.
Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan 5.1 peratus, pengangguran menurun kepada 3.2 peratus dan inflasi kekal rendah pada kadar 1.8 peratus. Perdagangan antarabangsa negara juga mencecah RM2.9 trilion menunjukkan daya saing yang kukuh.
Kerajaan komited memperkukuh asas ekonomi melalui pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) demi meningkatkan kesejahteraan rakyat bandar dan luar bandar. Laporan penuh HIES boleh diakses di portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).