Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selaras dengan agenda transformasi digital perkhidmatan awam, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memperkenalkan penghantaran notifikasi Potongan Cukai Bulanan (PCB) kepada pembayar cukai individu melalui e-mel berkuat kuasa mulai 17 September 2025. Inisiatif ini melibatkan notifikasi bagi potongan cukai bulan Ogos 2025.
Menurut kenyataan HASiL, pelaksanaan kaedah notifikasi digital ini mencerminkan komitmen berterusan agensi tersebut dalam memperkukuh kepercayaan pembayar cukai terhadap sistem percukaian negara.
Hal ini turut memberikan jaminan bahawa potongan cukai yang dilakukan oleh majikan telah dikreditkan ke dalam lejar cukai masing-masing.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan secara digital, selain menggalakkan penggunaan portal MyTax sebagai saluran komunikasi rasmi antara HASiL dengan pembayar cukai,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan dengan itu, pembayar cukai dinasihatkan untuk memastikan alamat e-mel mereka sah dan sentiasa dikemas kini dalam portal MyTax. Hal ini bagi membolehkan notifikasi diterima secara konsisten pada setiap bulan.
Pembayar cukai juga boleh membuat semakan pembayaran PCB melalui pautan khas, serta mengakses maklumat akaun cukai secara terperinci melalui pautan lejar yang turut disediakan dalam portal berkenaan.
HASiL yakin bahawa pelaksanaan notifikasi PCB secara e-mel ini akan memberikan nilai tambah yang positif, di samping meningkatkan kepuasan serta pengalaman pengguna dalam urusan percukaian mereka.