Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam dialog global berkaitan dengan perlindungan sosial apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 29 September 2025 yang lalu.

Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), forum bertaraf antarabangsa ini berlangsung selama lima hari bermula 29 September 2025 sehingga 3 Oktober 2025 dan menghimpunkan lebih daripada 2,000 peserta daripada 253 buah institusi mewakili 133 buah negara.

Penganjuran forum kali ini membawa tema “Shaping Social Security for a World in Transition” dan melibatkan kerjasama International Social Security Association (ISSA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Forum ini menghimpunkan menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Bank Dunia, sekali gus menjadikannya platform terbesar di dunia dalam membincangkan isu dan masa hadapan perlindungan sosial.

Dalam kenyataan media, KWSP memaklumkan bahawa Malaysia turut mengambil peluang mengetengahkan pencapaian dan reformasi dalam sistem perlindungan sosial negara, termasuk peluasan liputan, pengukuhan kelestarian kewangan dan penggunaan teknologi digital secara bersepadu.

Pendekatan Malaysia semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai model yang seimbang antara keutamaan domestik dengan cabaran global, khususnya berkaitan dengan ekonomi gig, penuaan penduduk, serta keperluan memperkukuh institusi perlindungan sosial.

Satu daripada sesi pleno forum yang bertajuk “Global Developments and Trends in Social Security” turut menampilkan perbincangan mendalam oleh pakar antarabangsa berhubung kesan perubahan demografi, pendigitalan dan transformasi pasaran buruh terhadap struktur sistem perlindungan sosial. Perbincangan turut menyentuh keperluan mendesak untuk membangunkan sistem yang tangkas dan berdaya tahan bagi menangani isu seperti perubahan iklim, ekonomi tidak formal dan kemunculan teknologi baharu yang pesat.

Presiden ISSA, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan yang sama berkata, Kuala Lumpur kini menjadi nadi kepada usaha melakar komitmen baharu global dalam keselamatan sosial.

“Forum ini merupakan ruang untuk peserta berdebat, bertukar pandangan, mencabar pendekatan sedia ada dan pada masa sama, belajar daripada inovasi negara lain. Cabaran yang dihadapi kini adalah bersifat merentas sempadan dan tidak boleh ditangani oleh satu institusi atau negara secara bersendirian.”

Menurutnya lagi, WSSF 2025 dijangka mencetuskan komitmen kolektif untuk melindungi golongan yang masih tercicir daripada sistem perlindungan sosial, selain memastikan kesiapsiagaan terhadap risiko baharu dan tersembunyi.

“Setiap kelewatan dalam bertindak hanya akan menyebabkan lebih banyak terjatuh dalam jurang perlindungan dengan sebahagian besar daripada dua bilion penduduk dunia masih tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan sosial dan terdedah kepada kehilangan pendapatan, tekanan ekonomi dan masalah kesihatan,” ujarnya.

KWSP turut memaklumkan bahawa forum ini akan diteruskan dengan pelbagai sesi teknikal dan bengkel interaktif yang memfokuskan transformasi dan inovasi dalam pengurusan sistem keselamatan sosial. Selain itu, pameran pendekatan baharu juga diadakan sebagai ruang perkongsian amalan terbaik antara negara.

Kemuncak WSSF 2025 dijadual berlangsung pada Jumaat ini menerusi World Social Security Summit yang akan menghimpunkan pemimpin institusi perlindungan sosial dari seluruh dunia bagi merangka hala tuju bersama ke arah sistem perlindungan sosial global yang lebih inklusif, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi