Diterbitkan pada 30 September 2025, 08:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh budaya penabungan menerusi pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 bersempena dengan sambutan Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun.

Majlis pelancaran peringkat nasional telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim pada 27 September 2025 yang lalu.

Menurut kenyataan PTPTN, BMS merupakan program tahunan yang memartabatkan amalan menabung dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan pilihan utama rakyat Malaysia. Tahun ini menandakan penganjuran kali kelapan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2018.

BMS 2025 berlangsung dari 26 September hingga 2 November di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik untuk ibu bapa dan anak-anak, termasuk Pertandingan Mewarna, Action Song, PTPTN Esport Challenge dan Lumbaan Bayi Merangkak. Bertemakan “Pengembaraan” dan mengekalkan slogan “Jom Jadi Adiwira Anak Anda”, edisi kali ini menekankan pentingnya simpanan sebagai tanda kasih sayang, tanggungjawab dan harapan terhadap masa hadapan anak-anak.

Setakat 31 Ogos 2025, Simpan SSPN telah mencatatkan RM22.31 bilion jumlah deposit dengan lebih daripada 7.09 juta akaun dibuka. PTPTN menyasarkan RM220 juta terimaan deposit sempena BMS tahun ini.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan sehingga RM10,000, dividen kompetitif, patuh syariah dan jaminan kerajaan. PTPTN juga mempergiat kempen seperti Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 untuk menggalakkan penabungan.

Datuk Dr. Anesee dalam ucapannya menegaskan bahawa menabung untuk pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang bijak, terutamanya dalam menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat.

PTPTN berkata, pihaknya komited memperkukuh kesedaran awam agar menjadikan Simpan SSPN sebagai langkah proaktif dalam perancangan kewangan pendidikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman.

Kredit Foto: FB PTPTN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi