Diterbitkan pada 30 September 2025, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tadbir urus atau tatakelola yang baik merupakan prasyarat utama bagi menjayakan pembangunan negara selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, tegas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), YBhg. Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail.

Dalam ucapan alu-aluan sempena Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025, beliau menekankan bahawa tiga tonggak utama Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), iaitu menaikkan siling pertumbuhan ekonomi, lantai kesejahteraan rakyat dan memperkukuh tatakelola merupakan asas penting bagi pembangunan yang inklusif, mampan dan berintegriti.

Beliau turut menegaskan bahawa tadbir urus yang baik perlu menjadi budaya kerja, bukan sekadar dokumen polisi bagi memastikan keputusan yang dibuat berasaskan integriti, ketelusan dan kepentingan rakyat.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), YBhg. Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail menyampaikan ucapan alu-aluan semasa Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara.

Tambah beliau, setiap penjawat awam ialah pemegang amanah yang mesti memastikan tindakan mereka memberikan impak nyata kepada kesejahteraan rakyat.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Kewangan II merangkap Menteri Ekonomi, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron.

Datuk Dr. Mohd Bakhari turut menjelaskan bahawa RMK-13 ialah terjemahan praktikal kepada aspirasi Ekonomi MADANI melalui penekanan terhadap nilai, inovasi, mobiliti sosial, serta kecekapan dan integriti pentadbiran.

Mengakhiri ucapannya, beliau merumuskan bahawa tadbir urus yang baik merupakan asas kejayaan pembangunan negara, perlu dibudayakan dalam perkhidmatan awam, serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh keyakinan rakyat dan menjadi jambatan kepada agenda pembangunan di bawah RMK-13.

MEKA 2025 menjadi platform penting untuk mempertemukan ahli akademik, penggubal dasar dan pengamal sektor awam bagi memperhalusi idea dan amalan terbaik dalam bidang ekonomi dan kewangan awam.

Kredit Foto: Institut Tadbiran Awam Negara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi