Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Forum Ekonomi Biru ASEAN Ketiga yang berlangsung pada hari ini bertujuan memperkukuh kerjasama serantau ke arah pertumbuhan mampan.
Kementerian Ekonomi Malaysia selaku Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) 2025 menjadi tuan rumah kepada forum tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Forum tersebut diadakan bersempena dengan Mesyuarat Kedua ASEAN Coordinating Task Force on Blue Economy (ACTF-BE) pada 30 September 2025 yang menyediakan wadah bagi negara anggota ASEAN menyelaraskan keutamaan nasional masing-masing serta menyesuaikannya dengan Kerangka Ekonomi Biru ASEAN.
Forum dengan tema “Pemerkasaan Ekonomi Biru” mencerminkan komitmen ASEAN bagi menterjemahkan visi bersama kepada tindakan melalui penerokaan medan baharu pertumbuhan mampan.
Majlis perasmian forum tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib yang menyampaikan ucaptama mengenai peranan Ekonomi Biru bagi memperkukuh daya tahan dan memacu kemakmuran serantau.
Beliau menekankan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu strategik bagi meningkatkan kerencaman ekonomi negara serta menyokong peralihan Malaysia ke arah pertumbuhan inklusif dan mampan.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan terus memperkasakan inisiatif Ekonomi Biru sebagai tonggak utama kerjasama serantau, khususnya dalam bidang perkapalan, akuakultur, pelancongan, perlindungan marin serta pemuliharaan berasaskan komuniti.
Forum ini menghimpunkan pembuat dasar, pegawai kanan, pakar, peneraju industri, akademia dan masyarakat sivil dari seluruh ASEAN serta rakan antarabangsa.
Perbincangan memberikan tumpuan kepada pembiayaan dan pelaburan biru, inovasi sains dan teknologi, pembangunan tenaga kerja serta kepentingan memperkukuh perkongsian ASEAN.
Selain itu, pameran turut diadakan bagi menyediakan platform kepada kerajaan, pihak industri, penyelidik dan komuniti untuk mempamerkan inisiatif, teknologi serta inovasi bagi memperkasakan Ekonomi Biru.
Kementerian Ekonomi menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua rakan ASEAN bagi memupuk kerjasama, menterjemahkan dialog kepada tindakan dan memajukan visi bersama ke arah Ekonomi Biru yang berdaya tahan, inklusif dan mampan demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.