Diterbitkan pada 29 September 2025, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan sesebuah negara tidak seharusnya hanya diukur melalui kemajuan ekonomi atau pembinaan mercu tanda, tetapi juga menerusi keupayaan melindungi golongan rentan dalam masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 bertemakan “Membentuk Keselamatan Sosial untuk Dunia yang Sedang Berubah” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur anjuran Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Anwar, perlindungan sosial perlu dilihat sebagai “infrastruktur moral” yang penting dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera dan inklusif selaras dengan nilai Malaysia MADANI seperti Kemampanan, Kesejahteraan, Ihsan dan Daya Cipta.

Beliau turut menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi sistem keselamatan sosial global, termasuk perubahan dalam landskap pekerjaan, peningkatan jangka hayat dan impak perubahan iklim. Katanya, sistem keselamatan sosial tradisional yang diasaskan pada pekerjaan tetap kini tidak lagi mencukupi.

Sebagai langkah pembaharuan, kerajaan akan memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi meluaskan perlindungan kepada pekerja di luar waktu bekerja, termasuk dalam konteks kerja fleksibel.

Malaysia juga sedang bersedia untuk menjadi negara menua menjelang tahun 2030 apabila seorang daripada tujuh rakyat dijangka berusia 60 tahun ke atas. Anwar menekankan bahawa warga emas perlu dilihat sebagai aset yang menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat.

Beliau turut merujuk prinsip tradisi Islam melalui institusi kewangan baitulmal sebagai contoh sistem pengagihan kekayaan yang menyokong golongan memerlukan dan menyatakan bahawa prinsip ini kekal relevan dalam pembentukan dasar sosial moden.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Sumber Manusia, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohamed Azman Aziz Mohamed.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi