Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (M.A.T.A) menganjurkan Persidangan Cukai Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2025 bagi mendekati komuniti peniaga melalui platform perkongsian ilmu percukaian.
Persidangan yang berlangsung secara hibrid di Berjaya Times Square melibatkan 429 peserta yang merangkumi penyertaan fizikal dan secara dalam talian.
Penganjuran buat julung kali antara HASiL dengan M.A.T.A. bertujuan memperkukuh kefahaman komuniti PMKS mengenai tanggungjawab percukaian, insentif kerajaan, serta peluang pendigitalan yang dapat meningkatkan tahap pematuhan cukai. Dengan tema “Bijak Urus Cukai, Perniagaan Lebih Hebat”, program ini turut menekankan peranan penting usahawan PMKS bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Menteri Kewangan, YB Lim Hui Ying menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan komuniti PMKS menerima sokongan melalui pelbagai dasar, inisiatif dan insentif inklusif yang mampu meningkatkan daya saing serta ketahanan perniagaan bagi menghadapi cabaran ekonomi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata, persidangan ini merupakan platform strategik bersama-sama M.A.T.A untuk memperkukuh literasi percukaian, kemahiran kewangan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan berdaya saing.
Antara pengisian utama persidangan termasuklah sesi perkongsian, forum panel dan bengkel dengan fokus kepada tiga aspek, iaitu tanggungjawab dan insentif PMKS, isu dan cabaran pematuhan cukai, serta demonstrasi sistem e-PCB Plus dan e-Invois.
Persidangan ini turut diserikan dengan perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya, pempengaruh dan penyanyi, Encik Nubhan Ahamad yang membincangkan strategi mengurus empayar perniagaan, cabaran dalam dunia keusahawanan, serta teknik pengurusan cukai secara bijak.
Sambutan positif daripada usahawan PMKS, persatuan perniagaan serta agensi yang hadir membuktikan bahawa komitmen tinggi komuniti ini untuk terus maju dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
Diharapkan dengan peningkatan kesedaran mengenai percukaian dapat mendorong lebih banyak usahawan bangkit memanfaatkan peluang yang ada, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang lestari dan mampan.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden M.A.T.A, YBhg. Dato’ Hj. Abd. Aziz Abu Bakar, barisan pengurusan kanan HASiL dan M.A.T.A serta tetamu jemputan.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi HASiL menerusi: