Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meneruskan komitmennya terhadap pemerkasaan digital dalam sistem percukaian negara dengan menganjurkan Program Jelajah Mega e-Invois Siri Kedua 2025 yang berlangsung serentak di seluruh negara.
Program berkonsepkan turun padang ini memberikan ruang kepada HASiL untuk mendekati komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menyampaikan maklumat, memberikan penerangan dan menyediakan khidmat sokongan berhubung dengan pelaksanaan e-Invois.
Penganjuran program di Pulau Mutiara mencerminkan iltizam HASiL untuk terus mendampingi komuniti PMKS selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh sistem percukaian serta memperluas adaptasi digital pada peringkat akar umbi.
Dengan kekuatan 1,000 pegawai meliputi 38 pejabat HASiL serta sasaran lebih daripada 7,000 lawatan ke premis perniagaan, program ini menjadi platform strategik untuk pembayar cukai mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan berterusan berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Menara HASiL Pulau Pinang.
Dalam ucapannya, Menteri Kewangan II berkata, pelaksanaan e-Invois yang diperkenalkan sejak Ogos 2024 telah mencatatkan pencapaian membanggakan dengan lebih daripada 102,800 pembayar cukai melaksanakan e-Invois yang melibatkan lebih daripada 563 juta e-Invois.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat positif, malah terdapat pembayar cukai yang melaksanakan sistem ini secara sukarela lebih awal daripada garis masa mandatori.
Tambah beliau, program jelajah ini juga penting untuk memberikan penerangan dan mendapatkan maklum balas terus daripada PMKS menjelang pelaksanaan e-Invois secara lebih meluas mulai 1 Januari 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menegaskan bahawa inisiatif ini membuktikan kesungguhan HASiL bagi menyampaikan maklumat secara langsung kepada komuniti PMKS.
Beliau menjelaskan bahawa antara inisiatif sokongan utama termasuklah Portal MyInvois, iaitu platform rasmi percuma untuk pembayar cukai menjanakan, menyimpan dan menyerahkan e-Invois serta MyInvois e-POS [platform digital Point-of Sale (POS)] secara percuma khusus bagi PMKS dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM750,000. Kedua-dua platform ini dibangunkan bagi memastikan tiada PMKS yang tercicir dalam pelaksanaan e-Invois.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti diadakan termasuk lawatan turun padang ke premis pembayar cukai, taklimat dan webinar mengenai penggunaan portal MyInvois/aplikasi MyInvois, dan pembukaan 38 kaunter perkhidmatan HASiL di seluruh negara untuk memberikan khidmat nasihat berkaitan dengan e-Invois.
Pendekatan ini memperlihatkan komitmen HASiL untuk menjadikan pelaksanaan e-Invois sebagai usaha kolektif antara kerajaan dengan komuniti PMKS melalui pendidikan, sokongan teknikal dan komunikasi berkesan.
Yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan, YBrs. Tuan John Patrick, serta barisan pengurusan kanan HASiL dan Kementerian Kewangan Malaysia.
Bagi pertanyaan lanjut, pembayar cukai boleh menghubungi saluran khas e-Invois seperti yang berikut: