Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDarwin – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus kekal menerajui peranan dalam International Tropical Fruits Network (TFNet).
Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak mempengerusikan mesyuarat tahunan The 17th International Tropical Fruits Network (TFNet) Board of Trustees Meeting yang berlangsung pada 22 September 2025 di Northern Territory Head Office, Australia.

Pada mesyuarat tersebut, Malaysia sekali lagi dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TFNet bagi tempoh tiga tahun bermula dari tahun 2025 hingga tahun 2028. Pemilihan ini membuktikan kepercayaan ahli TFNet terhadap kemampuan dan keberkesanan peranan Malaysia sejak memegang jawatan itu pada tahun 2000.
YBhg. Datuk Seri Isham Ishak turut mengetuai delegasi Malaysia dalam The 9th TFNet General Assembly yang diadakan pada hari dan lokasi sama yang dipengerusikan oleh pihak Australia selaku negara penganjur.

Persidangan kali ini turut membincangkan Pelan Strategik TFNet untuk tahun 2025 hingga tahun 2030 serta cadangan penganjuran “International Tropical Fruits Day”.
Dalam sesi perbincangan, YBhg. Datuk Seri Isham menekankan komitmen negara anggota untuk terus memenuhi kewajipan kewangan bagi memastikan kelangsungan operasi TFNet serta menyokong penganjuran program yang telah dirancang.
Beliau turut mencadangkan supaya TFNet memperluas dan memperkukuh peranan dalam aspek fasiliti perdagangan bagi memudahkan akses pasaran buah-buahan tropika, khususnya dalam kalangan negara anggota.
TFNet yang ditubuhkan pada tahun 1998 di bawah inisiatif Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) bertujuan mempromosikan pembangunan mampan industri buah tropika di seluruh dunia.
Malaysia dipilih sebagai negara hos operasi TFNet sejak tahun 2000 dengan ibu pejabatnya terletak di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor dan dibiayai oleh Kerajaan Malaysia melalui KPKM.
Sehingga kini, TFNet disertai oleh 14 negara, iaitu Australia, Bangladesh, China, Fiji, India, Indonesia, Malaysia, Nigeria, Filipina, Arab Saudi, Sri Lanka, Sudan, Syria dan Vietnam.
Kerjasama ini turut melibatkan organisasi penyelidikan antarabangsa seperti Centre for Agriculture and Bioscience International (CABI), African-Asian Rural Development Organization (AARDO) dan Japan International Research Center for Agricultural Sciences (JIRCAS).