Diterbitkan pada 20 September 2025, 10:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia dan Kazakhstan menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan perdagangan dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Komitmen tersebut hasil kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Integrasi Republik Kazakhstan, TYT Arman Shakkaliyev terhadap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu pada 17 September 2025.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu bergambar bersama-sama TYT Arman Shakkaliyev dan delegasi dari  Kazakhstan serta pegawai KPKM.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri kunjungan TYT Arman ke Malaysia sempena penyertaannya dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025.

Pada tahun 2024, nilai perdagangan dua hala sektor pertanian antara Malaysia dengan Kazakhstan mencatatkan RM201.42 juta. Daripada jumlah itu, eksport Malaysia direkodkan sebanyak RM200.98 juta merangkumi produk utama seperti kopi, koko, teh, rempah ratus serta produk makanan berasaskan pembuatan. Import dari Kazakhstan pula terdiri daripada pelbagai produk makanan.

Pertemuan sulung kedua-dua pemimpin itu membuka peluang untuk membincangkan potensi kerjasama dalam bidang agromakanan serta memperluas kolaborasi teknologi pertanian.

Kerjsama ini termasuklah peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan institusi penyelidikan di Kazakhstan. Kedua-dua pihak turut melihat potensi besar sektor pengeluaran pertanian melalui pelaburan bersama (joint investment) bagi menangani isu sekuriti makanan global.

Lawatan ini dijangka dapat membuka akses pasaran baharu bagi produk pertanian Malaysia ke Kazakhstan, termasuklah produk komposit berasaskan susu, telur dan buah durian.

YB Menteri juga mengambil kesempatan untuk menjemput TYT Arman dan Kazakhstan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 sebagai usaha menggalakkan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Yang turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah TYT Bulat Sugurbayev, Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob dan pegawai kanan KPKM.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi