Diterbitkan pada 18 September 2025, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Osaka – Malaysia telah menjanakan lebih daripada RM1.5 bilion dalam potensi perdagangan dan pelaburan inovasi mampan di Ekspo Osaka 2025.

Delegasi ini diketuai bersama-sama oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurut NRES, jumlah tersebut diperoleh melalui 68 perjanjian kerjasama dengan organisasi dari pelbagai negara dalam sektor tenaga, air dan teknologi hijau.

Jumlah berkenaan termasuk RM38.74 juta melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Kerjasama dan Surat Niat. Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan beberapa syarikat masih belum mendedahkan potensi kerjasama mereka pada peringkat ini.

Penyertaan Malaysia dalam Minggu ke-22 Ekspo Osaka menyerlahkan komitmen negara terhadap pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti, penggunaan tenaga boleh baharu dan pengurusan air.

Selain itu, penyertaan tersebut turut memperkukuh aspirasi Malaysia MADANI dengan mengetengahkan pencapaian negara dalam pembangunan mampan menerusi pameran di Sudut Tematik serta siri ceramah mini oleh syarikat dan wakil kementerian.

Sepanjang minggu berkenaan, Pavilion Malaysia menonjolkan visi berani negara ke arah masa hadapan rendah karbon dan berdaya tahan iklim, sekali gus memperlihatkan kepimpinan dalam peralihan tenaga, transformasi air dan teknologi hijau.

Pavilion Malaysia turut menampilkan forum perniagaan berprofil tinggi, pameran teknologi dan sesi perkongsian ilmu yang mengukuhkan peranan Malaysia sebagai rakan global bagi memacu kelestarian dan inovasi.

Menurut NRES lagi, penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka telah mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan antarabangsa, pemimpin industri dan masyarakat sivil menjadikan Pavilion Malaysia sebagai pusat dialog, pelaburan dan kerjasama.

Program tersebut melabuhkan tirainya dengan majlis penutup dan tayangan filem bertemakan alam sekitar bertajuk “Footprints in the Forest” yang menyeru kepada perlindungan hutan, hidupan liar dan ekosistem.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi