Diterbitkan pada 18 September 2025, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Osaka – Malaysia menjanakan lebih daripada RM1.5 bilion dalam potensi perdagangan dan pelaburan berasaskan inovasi mampan bersempena dengan penyertaannya di Ekspo 2025 Osaka, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan strategik global dalam agenda kelestarian.

Menurut kenyataan media Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), pencapaian ini diterajui bersama-sama NRES dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui 68 perjanjian kerjasama yang melibatkan organisasi dari pelbagai negara dalam sektor tenaga, air dan teknologi hijau.

Daripada jumlah tersebut, RM38.74 juta telah direkodkan secara rasmi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Kerjasama serta Surat Niat. Nilai keseluruhan dijangka terus meningkat memandangkan beberapa syarikat masih belum mendedahkan anggaran potensi kerjasama mereka.

Penyertaan Malaysia dalam Minggu ke-22 Ekspo 2025 Osaka menonjolkan komitmen negara terhadap pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti, penggunaan tenaga boleh baharu dan pengurusan sumber air secara lestari.

Pavilion Malaysia mempamerkan visi negara ke arah masa hadapan rendah karbon dan berdaya tahan iklim, di samping menampilkan kepimpinan dalam bidang peralihan tenaga dan teknologi hijau.

Sepanjang minggu pameran, Pavilion Malaysia menjadi platform strategik menerusi penganjuran forum perniagaan berprofil tinggi, pameran teknologi dan sesi perkongsian ilmu yang memperkukuh jaringan Malaysia bersama-sama dengan pemimpin industri, pihak berkepentingan antarabangsa serta khalayak umum.

Ekspo ini melabuhkan tirainya dengan tayangan filem bertemakan alam sekitar bertajuk Footprints in the Forest yang menyeru kepada perlindungan hutan, hidupan liar dan ekosistem seterusnya menjadi peringatan tepat pada masanya tentang keperluan tindakan kolektif dalam menangani perubahan iklim.

Kredit Foto: Media NRES
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi