Diterbitkan pada 17 September 2025, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth – Asia Ocean Resources Sdn. Bhd. (AORSB) memeterai perjanjian usahasama strategik bersama-sama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) bagi membangunkan hab tuna khusus di Pulau Pinang.

Majlis bersejarah ini disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Projek berimpak tinggi ini merangkumi kemudahan sejuk beku bertaraf Kesatuan Eropah (EU), fasiliti pemprosesan moden dan infrastruktur eksport antarabangsa yang bakal menjadikan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama industri tuna serantau.

Selain meningkatkan kapasiti industri, inisiatif ini turut memberikan tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pemprosesan ikan dan operasi bilik sejuk dengan sokongan teknologi dari Jepun, Korea dan Taiwan.

Majlis turut menyaksikan pendaratan tuna bersuhu -60° Celcius serta pelancaran produk premium “Shinkai Origin Ready-to-Eat Tuna”.

Pendaratan tuna bersuhu -60° Celcius dalam majlis tersebut.

Berdasarkan laporan IMARC, nilai pasaran tuna global dianggarkan mencecah USD43 bilion pada tahun 2024 dan dijangka meningkat kepada USD60.6 bilion menjelang tahun 2033, sekali gus mencerminkan potensi besar Malaysia dalam segmen makanan laut bernilai tinggi.

Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan kepentingan projek ini bagi memperkukuh sekuriti makanan negara, meningkatkan pendapatan nelayan luar bandar dan membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada generasi muda.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap dalam majlis tersebut.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Tuan Fahmi Zainol; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan dengannya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Tuan Fahmi Zainol mengiringi YAB Timbalan Perdana Menteri dalam majlis tersebut.

KPKM menegaskan komitmennya untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan serantau dalam industri tuna berteknologi tinggi dan berdaya saing pada peringkat global.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi