Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Agri Malaysia 2025 membuka tirai di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) bermula pada hari ini hingga 13 September 2025.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin hadir pada majlis perasmian tersebut.
Acara pada edisi kali ini mengangkat tema “Futuristic Innovates Agriculture” yang menekankan penggunaan teknologi moden, amalan lestari dan pendekatan inovatif dalam sektor pertanian serta perladangan.
Dalam ucapannya, YB Datuk Chan menegaskan kepentingan sektor perladangan dan komoditi terhadap ekonomi negara. Beliau memaklumkan bahawa eksport minyak sawit telah mencatatkan RM53.43 bilion setakat separuh pertama tahun 2025, meningkat 9.3 peratus berbanding dengan tempoh sama pada tahun lalu, sekali gus menyumbang 2.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau turut menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi oleh sektor tersebut, termasuklah kadar penanaman semula yang rendah. Bagi mengatasinya, kerajaan memperuntukkan geran padanan sebanyak RM100 juta pada tahun 2025 serta mencadangkan penubuhan Dana Penanaman Semula bernilai RM1.4 bilion bagi tahun 2026 hingga tahun 2030.
Kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam penganjuran Agri Malaysia 2025 dilihat sebagai bukti keyakinan kerajaan terhadap peranan acara ini bagi merangsang inovasi, pertumbuhan dan kolaborasi dalam sektor berkenaan.
Antara agensi di bawah KPK yang turut serta termasuklah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Lada Malaysia (MPB), Lembaga Koko Malaysia (LKM) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Menurut YB Datuk Chan, KPK akan terus komited menyokong pembangunan sektor perladangan dan komoditi yang mampan, inovatif dan berdaya saing pada peringkat global.