Diterbitkan pada 11 September 2025, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kadar pengangguran Malaysia pada Julai 2025 kekal tiga peratus melibatkan 521,600 penganggur.

Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh terus mengekalkan trajektori positif berikutan penambahbaikan berterusan dalam ekonomi domestik, meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

“Bilangan tenaga buruh pada Julai 2025 meningkat 0.2 peratus kepada 17.47 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.8 peratus,” ujar beliau.

Daripada jumlah tersebut, penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.95 juta orang. Pekerja merupakan kategori terbesar dengan 12.71 juta orang atau 75 peratus daripada jumlah bekerja, manakala bilangan bekerja sendiri naik 0.4 peratus kepada 3.21 juta orang.

Pada masa yang sama, bilangan penganggur bertambah 0.6 peratus kepada 521,600 orang. Sebahagian besar atau 79.8 peratus ialah penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan sedang mencari pekerjaan dengan jumlah meningkat 0.4 peratus kepada 416,200 orang.

Kadar pengangguran belia berumur antara 15 tahun hingga 30 tahun kekal tinggi pada 10.2 peratus (298,900), manakala belia berumur antara 15 tahun hingga 30 tahun mencatatkan kadar 6.2 peratus (399,000).

YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir  menjangkakan pasaran buruh negara kekal stabil dan inklusif dengan prospek positif pada bulan mendatang.

Walaupun berdepan dengan cabaran luaran, asas ekonomi domestik yang kukuh, pelaburan strategik dan dasar kerajaan yang proaktif dijangka terus menyokong pertambahan guna tenaga. Fokus terhadap peningkatan kemahiran, inovasi dan ekonomi hijau akan menjadi pemacu utama daya saing pasaran buruh pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi