Diterbitkan pada 1 September 2025, 23:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa rizab antarabangsa negara kekal kukuh dan mencukupi setakat akhir Julai 2025, sekali gus mencerminkan  kedudukan kewangan Malaysia yang stabil.

Menurut BNM, jumlah rizab rasmi yang terkumpul mencecah USD121.3 bilion, manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD603.7 juta. Rizab ini berperanan sebagai “simpanan tunai” negara dalam bentuk mata wang asing yang boleh digunakan ketika berlaku kecemasan dalam sektor ekonomi atau ketidaktentuan pasaran kewangan dunia.

Bagi tempoh 12 bulan akan datang, Malaysia dijangka berdepan dengan aliran keluar berjadual sebanyak USD14.6 bilion. Jumlah ini termasuk pembayaran balik hutang luar kerajaan serta tempoh matang bil antara bank berdenominasi asing yang dikeluarkan oleh BNM. Pada masa yang sama, kontrak hadapan bersih (net short forward)  berjumlah USD21.2 bilion yang mencerminkan usaha bank pusat mengurus kecairan ringgit dalam pasaran wang.

Walau bagaimanapun, data ini tidak mengambil kira aliran masuk asing daripada pendapatan faedah dan pinjaman projek baharu yang dijangka menambah kira-kira USD2.7 bilion dalam tempoh setahun.

Sementara itu, satu-satunya komitmen luar jangka (contingent liabilities) ialah jaminan kerajaan ke atas hutang mata wang asing bernilai USD417.1 juta yang perlu dibayar dalam tempoh setahun. Tiada pinjaman asing dengan opsyen tersembunyi, tiada talian kredit khas daripada bank pusat atau institusi kewangan antarabangsa dan BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing yang melibatkan ringgit.

Secara keseluruhannya, laporan mengikut format Taburan Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ini menunjukkan bahawa rizab antarabangsa Malaysia kekal mencukupi untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

BNM menegaskan bahawa kedudukan rizab ini mencerminkan daya tahan ekonomi serta keupayaan negara untuk mengurus komitmen kewangan luar, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan pasaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi